JPJ Melaka sita 33 motosikal, keluarkan 190 notis pelbagai kesalahan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KESIDANG 15 September – Sebanyak 190 notis pelbagai kesalahan dan 33 motosikal disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri pada Operasi Khas Motosikal di Malim di sini semalam.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata operasi yang dijalankan di kedua-dua hala di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) bermula jam 8 hingga 10 malam itu melibatkan pemeriksaan terhadap 380 motosikal.

Katanya, dengan keseluruhan kekuatan 65 anggota dan pegawai, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

“Semua notis dikeluarkan dan motosikal yang disita membabitkan pelbagai kesalahan, antaranya termasuk ubah suai motosikal, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memiliki lesen.

“Modus operandi yang dijalankan adalah dengan kaedah audit pematuhan di lampu isyarat, menerusi sekatan jalan raya (SJR) dan ‘snap check’ yang melibatkan lokasi panas.

“Operasi ini dilakukan bertujuan untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Khas Motosikal di Lebuh AMJ, Malim di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Lokman berkata strategi tindakan operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi mendidik pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan berhemah dalam memupuk nilai selamat untuk mengelak risiko kecuaian di jalan raya.

“Ingin saya tegaskan, supaya penunggang motosikal tidak melakukan kesalahan seperti melanggar lampu isyarat, cuai keluar masuk simpang, berlumba, memandu melebihi had laju,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1173
Kongsi :
Previous post MPAG gempur kedai tomyam ‘tidak suci’
Next post Kajian ‘No Right Turn’ dalam tempoh sebulan
Ubah saiz-+=