Shamsubahrin mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan rasuah

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SHAH ALAM 7 Sept – Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi Datuk Shamsubahrin Ismail hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas tiga pertuduhan rasuah.

Shamsubahrin, 55, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Shamsubahrin didakwa meminta RM15,000 dan RM35,000 daripada Azizan Mohamed Yasin sebagai dorongan bagi menyelesaikan kes Azizan di Mahkamah Rayuan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Perindustrian Suntracks, Bandar Baru Bangi dan Hill Park, Bandar Teknologi Kajang Semenyih pada 3 Mac dan 7 Mac 2021.

Shamsubahrin juga didakwa atas pertuduhan menerima RM35,000 daripada Azizan untuk tujuan sama di Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 Mac 2021.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Selangor dan menetapkan 8 Okt untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab manakala Shamsubahrin diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi dan Zarina Ismail.

Terdahulu Rozilah membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan sebelum ini kerana tertuduh telah hadir ke mahkamah hari ini.

Pada 25 Ogos, Rozilah mengeluarkan waran tangkap terhadap Shamsubahrin kerana gagal hadir bagi menghadapi pertuduhan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

560
Kongsi :
Previous post COVID: 18,547 kes baharu, hari kedua Sarawak catat kes harian tertinggi
Next post SPR diarah laksana undi 18 menjelang Disember
Ubah saiz-+=