Sidang DUN: Rugi lebih RM300,000 akibat 173 pokok tumbang

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SERI NEGERI 12 Disember – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini menanggung implikasi kewangan sejumlah RM309,921.67 berikutan 173 kejadian pokok tumbang bagi tempoh Januari sehingga semalam.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Zaidi Attan berkata daripada jumlah itu implikasi kewangan ditanggung Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebanyak RM245,725.47, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) RM55,250, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) RM 8,946.20.

Katanya tiada implikasi kewangan membabitkan Majlis Perbadaran Jasin (MPJ) kerana kerja pembersihan dilaksanakan sendiri PBT itu.

“Mengikut kepada jumlah pokok yang tumbang sebanyak 31 batang di kawasan pentadbiran MBMB dengan lapan kes di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, 58 batang pokok di kawasan MPAG, lapan pokok di kawasan MPJ dan 76 pokok tumbang di kawasan MPHTJ.

“Dalam menentukan setiap pokok berada dalam kategori sihat dan selamat, beberapa tindakan dilaksanakan dengan menjalankan penilaian risiko pokok sewaktu kerja-kerja merekodkan inventori di lapangan.

“Membuat tindakan berdasarkan aduan daripada awam dan sentiasa melakukan pemantauan berkala, mencantas serta menebang pokok yang tidak selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Noor Helmy (BN-Duyong) mengenai kejadian pokok tumbang yang membahayakan rakyat pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Ujarnya, PBT juga menggunapakai Manual Pemangkasan Pokok Ameniti dan Garis Panduan Landskap Negara Jabatan Landskap Negara dalam menguruskan pokok-pokok ameniti (pokok-pokok utama) di kawasan pentadbiran masing-masing.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1672
Kongsi :
Previous post Sidang DUN: Penjawat awam Melaka terima dua bantuan khas kewangan
Next post Siling Dataran Pahlawan runtuh, pekerja sempat selamatkan diri
Ubah saiz-+=