Sindiket pinjaman tidak wujud: 17 individu ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR 14 Mac. – Polis menahan 17 individu yang disyaki bekerja di pusat panggilan untuk skim pinjaman yang tidak wujud dan sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen di Pusat Perdagangan Puchong Prima, Taman Puchong Prima pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata polis menyerbu sebuah kedai kira-kira 3 petang dan menahan lapan lelaki serta sembilan wanita termasuk pemilik premis, yang dipercayai pekerja pusat panggilan itu.

“Setelah memeriksa premis itu, polis merampas beberapa barang yang digunakan untuk menawarkan dan mempromosikan pinjaman palsu kepada orang ramai.

“Barang yang dirampas itu termasuk 35 telefon bimbit, lapan komputer desktop dan sebuah komputer riba,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.

Abd Khalid berkata mereka yang ditahan berumur antara 18 hingga 37 tahun, dibawa ke IPD Subang Jaya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah mempromosikan skim pinjaman mereka di platform media sosial termasuk melalui pesanan di aplikasi WhatsApp, dengan menyasarkan pemilik perniagaan kecil dengan tawaran pinjaman sehingga RM1,000.

“Kebanyakan laporan polis yang diterima menyatakan bahawa sindiket gagal memindahkan jumlah yang dipersetujui kepada pelanggan, tetapi masih menuntut pembayaran dengan kadar faedah yang tinggi,” katanya.

Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 17 Mac untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

747
Kongsi :
Previous post Rakyat Malaysia di Yangon nafi dakwaan kedutaan gagal jamin keselamatan
Next post Pelaksanaan undi 18 tanggungjawab SPR sepenuhnya
Ubah saiz-+=