Singapura, Malaysia setuju benarkan penduduk tertentu pulang bagi cuti jangka pendek

SINGAPURA 28 Jun  —  Singapura dan Malaysia bersetuju mewujudkan Aturan Perjalanan Berkala (PCA) bagi membenarkan penduduk kedua-dua negara yang memegang pas imigresen jangka panjang atas tujuan perniagaan atau bekerja untuk pulang ke negara masing-masing dari masa ke semasa untuk cuti jangka pendek.

Komitmen itu dibuat oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ketika menghubungi rakan sejawatannya di Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi panggilan telefon semalam, demikian menurut kenyataan Kementerian Luar (MFA) republik itu semalam.

“Mereke boleh pulang ke rumah untuk bercuti selepas meluangkan sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut di negara mereka bekerja dan dibenarkan kembali bekerja selepas bercuti,” menurut MFA.

Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju mewujudkan Laluan Hijau Ulang-Alik (RGL) untuk memudahkan perjalanan merentas sempadan untuk tujuan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara itu.

Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi aturan pencegahan COVID-19 dan protokol kesihatan awam yang dipersetujui bersama.

Kementerian itu berkata kedua-dua pemimpin itu sudah menugaskan pegawai masing-masing untuk segera merangka butiran operasi bagi RGL dan PCA.

“Para pegawai juga ditugaskan untuik meneruskan perbincangan mengenai cadangan lain untuk memudahkan lebih banyak perjalanan rentas sempadan secara berperingkat demi memastikan pemulihan secara stabil daripada COVID-19 oleh kedua-dua negara ini,” menurut kementerian itu.

– BERNAMA

Views:

1
Previous post PM zahir rasa bangga dengan kecekalan Mohamad Zain dan Siti Zubaidah
Next post Lebih 62,000 pas perjalanan tanpa had My30 telah dijual sejak dilancarkan