Siswa UTeM menang besar di Innovate Malaysia Design Competition 2021

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

MELAKA 2 Sept – Kumpulan penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkul beberapa kemenangan di pertandingan akhir Innovate Malaysia Design Competition (IMDC) 2021, baru-baru ini.

UTeM dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan UTeM menyerlah di IMDC 2021 dengan memenangi hadiah utama Sarawak Energy Design Challenge menerusi projek Distribution Line Fault Alert System (DLFAS).

Menurutnya, DLFAS adalah prototaip sistem amaran kerosakan talian pengagihan bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna di seluruh negeri Sarawak terutamanya di kawasan yang tiada rangkaian selular.

“Kumpulan pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) ini terdiri daripada Ng Chi Yuan dan Soon Wei Sheng yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Wong Chee Oon yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik.

“Mereka dibimbing oleh Prof. Madya Dr Hidayat Zainuddin dan Prof. Madya Dr Sharifah Sakinah Syed Ahmad dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

“Kejayaan utama ini telah melayakkan tiga orang penuntut bersama dua orang penyelia membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM 3,000 bagi kategori DLFAS dan hadiah saguhati sebanyak RM500 bagi kategori Microsoft Track,” katanya kenyataan itu.

UTeM turut menerima hadiah wang tunai RM3,000 apabila meraih tempat kedua dalam kategori Keysight Track menerusi projek Development of Myoelectric Muscle Sensor with IoT Technology for Continuous Prediction of User Motion Intention.

“Projek ini adalah berkaitan pembangunan sistem pengesan gabungan daripada isyarat neuro dan mekanikal untuk kelancaran pengendalian tangan robotik agar berfungsi mengikut kehendak pergerakan pengguna bagi tujuan rehabilitasi.

“Penglibatan dua pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dari FKE, iaitu Lee Leong Jin dan Chan Hwa Sheng di bawah bimbingan penyelia kumpulan, Dr Norafizah Abas dan Prof. Madya Dr Mohd Shahrieel Mohd Aras,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, dua pasukan lain dari UTeM turut memenangi hadiah saguhati sebanyak RM500 bagi kategori Keysight Track dan CREST Design Challenge.

Katanya, kumpulan dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) mempamerkan kebolehan mereka menerusi projek Design of An Automated Illuminated Emergency Exit Door System bagi kategori Keysight Track.

Bagi pasukan dari FKE adalah menerusi projek Design and Development of on-the go Soil Fertility Measurement by Using ATV bagi kategori CREST Design Challenge.

IMDC 2021 menjadi medan untuk mempamerkan potensi bakat dan inovasi dalam kalangan mahasiswa dan melibatkan penyertaan daripada 274 pasukan dari 27 universiti tempatan.

Pertandingan ini meliputi pelbagai bidang teknologi dan aplikasi termasuk litar bersepadu, sistem elektronik, internet pelbagai benda, pemodelan 3D, big data, aplikasi mudah alih dan awan, automotif, aplikasi pintar, teknologi hijau, kejuruteraan biologi dan bidang inovasi teknologi yang lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

838
Kongsi :
Previous post Empangan penuh, tiada catuan air di Melaka sehingga hujung tahun
Next post Melaka beralih ke Fasa 2 PPN esok atau lusa – Sulaiman
Ubah saiz-+=