SMIX2023 buka tirai esok
AYER KEROH 11 Oktober – Orang ramai termasuk pelancong dari luar Negeri Melaka dipelawa untuk hadir dan memeriahkan pelbagai aktiviti serta program dianjurkan bersempena Smart Melaka International Expo 2023 (SMIX2023) yang membuka tirainya esok.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, SMIX2023 dari 12 hingga 15 Oktober dijadualkan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), jam 10 pagi esok.
Katanya, berdasarkan pelbagai program diatur pihaknya yakin SMIX2023 mampu mencapai sasaran 30,000 orang pengunjung seperti yang disasarkan.
Menurutnya, penganjuran SMIX2023 turut mendapat kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Negara menerusi penganjuran Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Melaka, di lokasi sama pada 14 Oktober.
“Antara pengisian penting menerusi SMIX2023 ini adalah pada 12 Oktober, kita menyempurnakan pelancaran Smart City Blueprint Alor Gajah dan Pelancaran NFC Card: Smart Journey Melaka.
“Ketua Menteri turut merasmikan Karnival Kerjaya Myfuturejobs di lokasi sama yang dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang akan menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.
“Turut dilancarkan pada program tersebut adalah Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Smart Low Carbon City Dashboard,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam turut memaklumkan Pelancaran Minggu Sains Negara dan Techlympics dijadualkan dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih King juga akan berlangsung pada 12 Oktober.
Jelasnya, pada 13 Oktober pula, akan diadakan Majlis Pelancaran RICE Melaka@UTeM (Universiti Teknikal Malaysia, Melaka) dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri serta UTeM.
“Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam akan mengadakan walkabout ke SMIX2023 pada 13 Oktober dan menyaksikan Techlympics yang disertai wakil tiga negeri, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.
“Sementara itu pada 14 Oktober pula, ada Pelancaran Hari Sukan Negara dan Pertandingan E-Sport Piala Ketua Menteri yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri serta dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
“Manakala pada hari terakhir, 15 Oktober pula, program diteruskan dengan Expo SMIX2023 yang dijangka berakhir pada sebelah petang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak orang ramai untuk hadir bersama-sama memeriahkan SMIX2023 tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.