Kepakaran TVET UTeM ke Kemboja
DURIAN TUNGGAL 11 Oktober – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan bekerjasama dengan Kemboja bagi membantu memperkasa dan memperluaskan lagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara Asean itu.
Naib Canselor UTeM Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, perkara itu dizahirkan hasil pertemuan beliau bersama Timbalan Perdana Menteri Kemboja Sun Chanthol, pada perasmian Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) ke-21 Phnom Penh, baru-baru ini.
Katanya, pertemuan itu dianggap sebagai penyuntik bagi permulaan hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia bersama dengan kepimpinan dan pentadbiran baharu negara berkenaan.
“Ruangan ini digunakan bagi memperkenalkan UTeM sebagai universiti teknikal pertama di Malaysia dan perintis program TVET Malaysia yang kini turut bergiat aktif memperluaskannya ke rantau Asean.
“Pada majlis sama kami turut menyerahkan prospektus UTeM kepada Sun Chanthol dan merangka kerjasama dua hala antara UTeM bersama kerajaan Kemboja,” katanya menerusi satu kenyataan.
Hadir sama pada pertemuan itu Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam merangkap Presiden DMDI serta Canselor UTeM.
Menurutnya, delegasi UTeM turut mengadakan perbincangan bersama wakil daripada Kementerian Buruh dan Latihan Vokasional Kemboja, diwakili Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (DGTVET) Chan Vichet serta Pengarah Jabatan Latihan, Khun Leakhana.
Jelasnya, antara perkara yang dibincangkan adalah peluang kolaborasi antara UTeM dan institusi-institusi di Kemboja dalam bidang TVET di samping mengenal pasti kepakaran TVET diperlukan.
“Mereka turut menyatakan minat terhadap program pensijilan profesional, program padanan dalam bidang TVET dan latihan yang boleh disediakan oleh akademi TVET Wanita JELITA UTeM,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.