SPRM tahan Eksekutif Kanan syarikat GLC, isteri terlibat terima rasuah lebih RM600,000
Menurut sumber SPRM, suami isteri yang masing-masing berusia 50-an dan 40-an itu ditahan pada kira-kira 7 malam di kediaman mereka di Petaling Jaya, Selangor semalam.
Sumber SPRM itu berkata lelaki berkenaan disyaki meminta ‘habuan bulanan’ kira-kira RM20,000 sebagai balasan melantik sebuah syarikat pengangkutan bagi penghantaran produk berasaskan minyak ke seluruh negara untuk tempoh antara Julai 2019 hingga April tahun ini.
Isterinya pula dipercayai bersubahat untuk meminta dan menerima bagi pihak suaminya.
Menurut sumber SPRM itu, isteri eksekutif kanan itu juga dipercayai mempunyai kawalan ke atas kad debit milik syarikat pengangkutan terbabit di mana pemilik syarikat tersebut terlibat dalam urusan rasmi dengan suaminya.
Pasangan itu direman enam hari bermula hari ini sehingga 10 Jun selepas perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan suami isteri tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.