STL2021: Melaka mahu tebus maruah

0
1089
BARISAN pemain dan staf kejurulatihan Melaka Titans yang diperkenalkan dalam satu majlis, malam tadi

BANDARAYA MELAKA 19 Jan – Kegemilangan sepak takraw di Melaka akan dikembalikan dengan sasaran mara ke perlawanan akhir kejohanan Sepak Takraw League (STL) 2021 Divisyen 1, awal bulan depan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, sasaran itu ditetapkan selepas skuad Melaka Titans membawa masuk beberapa pemain berpengalaman bagi menempuh cabaran musim ini.

Katanya, kehampaan musim lalu apabila gagal di separuh akhir juga banyak memberi pengajaran kepada pasukan untuk menebus kembali kesilapan yang dilakukan.

“Saya mengakui musim lalu (STL2020) ada sedikit kealpaan di peringkat kami ahli jawatankuasa yang mana kita tidak meletakkan fokus yang sebetulnya kepada Melaka Titans.

“Jadi, kita mahu tebus kehampaan itu dengan membawa masuk pemain berbeza yang pernah beraksi bersama pasukan-pasukan besar sebelum ini.

“Jadi, musim ini memang kita mengharapkan untuk melangkah ke perlawanan akhir dan seterusnya beraksi di saingan liga teratas iaitu STL Premier bagi musim 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Memperkenalkan Pemain STL Melaka 2021/2022, di sini, malam tadi.

Untuk musim 2021/22, Melaka Titans bakal mempertaruhkan Sahidan Md Ali dan Iskandar Zulkarnain Salim sebagai tekong,  manakala posisi apit kanan bakal dibarisi Mohd Fadzil Baharudin, Mohammad Sollehuddin Aziz dan Muhammad Najib Abd Rahman.

Posisi apit kiri pula bakal diperkuatkan dengan kehadiran Muhammad Umar Mohammad dan Mohd Zarlizan Zakaria yang merangkap ketua pasukan.

Melaka Titans turut menamakan Mohd Faiz Azalli sebagai Pengurus Pasukan dan Riduan Ramli sebagai ketua jurulatih.

Pengenalan pemain dan barisan kejurulatihan itu telah dirasmikan Exco Sukan V P Shanmugam yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum, Exco Luar Bandar Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Akramuddin yang juga Pemangku Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) turut memaklumkan Melaka bakal menjadi salah satu venue bagi saingan STL musim 2022 yang dijadual pada Oktober depan.

Katanya, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dicadang menjadi lokasi penganjuran itu nanti.

“Pihak Astro sendiri telah menjanjikan agar Melaka dijadikan salah satu venue STL bagi musim 2022.

“Sebelum ini memang kita ada hasrat untuk membawa STL ke Melaka untuk musim 2021, namun disebabkan pergolakan politik yang berlaku kita terpaksa menangguhkan dan insya-Allah untuk musim 2022 nanti kita akan merealisasikan hasrat itu selepas ia dipersetujui Ketua Menteri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.