Sorting by

×

Ajal pengantin baharu pulang kerja

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

ALOR GAJAH 19 Jan – Jodoh seorang lelaki hanya bertahan 17 hari apabila meninggal dunia dalam kemalangan Kilometer 196.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 8.15 malam itu, Anwarie Azim Rozi, 23, menunggang Yamaha Y15Z maut di lokasi kejadian akibat parah pada seluruh anggota badan manakala pemandu Proton Persona iaitu lelaki berusia 47 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan pemandu kereta itu dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Ayer Keroh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan Proton Persona berkenaan hilang kawalan lalu merempuh motosikal mangsa dari arah belakang.

“Akibat kemalangan, mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

KETUA Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Seremban, Negeri Sembilan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala pemandu kereta diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

“Polis turut meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2286
Kongsi :
Previous post STL2021: Melaka mahu tebus maruah
Next post Piala Sulaiman cari regu sepak takraw terbaik Melaka
Ubah saiz-+=