Stoking Kalimah Allah: Bukan soal politik, tapi kesucian agama – KM

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 21 Mac – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyifatkan kontroversi stoking yang tertera kalimah Allah SWT dan dijual di kedai serbaneka sebagai perkara sensitif yang telah mengguris hati umat Islam.

Jelas beliau, kelantangan ramai pihak, termasuklah Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Dr. Muhamad Akmal Saleh mempunyai asasnya kerana ia mewakili suara orang Melayu dan umat Islam secara keseluruhannya.

Menurut beliau, isu tersebut tidak seharusnya dipandang daripada sudut politik, kerana ia adalah hal membabitkan kesucian agama.

“Soal politik tidak mengubah pendirian kita tentang agama. Kita boleh bersama dalam politik dan boleh bersama membina sebuah negara yang baik, tapi soal agama ini amat sensitif yang harus dilihat oleh semua pihak supaya sentuhan yang mengguris hati orang Melayu dan umat Islam ini tidak berulang lagi.

“Semua sedia maklum bahawa kalimah Allah SWT ini diletakkan di taraf lebih tinggi dalam kalangan umat Islam, jadi apabila ia diletakkan pada stoking yang dipakai di kaki, memang semua umat Islam bukan sahaja di Melaka bahkan seluruh negara berasa tersinggung dan terguris hati.

“Jadi kelantangan Dr. Muhamad Akmal ini mewakili orang Melayu dan menyuarakan suara hati umat Islam memandangkan perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana kita sudah bersepakat dalam konteks sosial untuk menghormati hak agama masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama YAB Ketua Menteri Melaka Bagi Daerah Melaka Tengah Tahun 2024, di Masjid Al Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Menurut Ab Rauf, kontroversi yang berlaku itu perlu diberi perhatian dan kesedaran mengenai isu sensitif seumpamanya wajar dipertingkatkan lagi di negara ini.

Jelas beliau, ia penting bagi memastikan perkara-perkara yang menggugat kesucian umat Islam dan keharmonian kaum tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

509
Kongsi :
Previous post Perdana Menteri dijangka meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Melaka
Next post Ibu tunggal, OKU, warga emas terharu keprihatinan Ketua Menteri
Ubah saiz-+=