Strategi lawan COVID-19 diperhebat

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KUALA LUMPUR 31 Julai – Mulai esok, kerajaan akan memperhebatkan lagi strategi dalam usaha memerangi penularan COVID-19 di negara ini, lapor Berita Harian hari ini.

Antaranya adalah dengan mempercepatkan pemberian vaksinasi menerusi Operasi Lonjakan Kapasiti secara terus atau ‘walk in’ di Lembah Klang bermula 2 Ogos bagi mereka yang belum memperoleh janji temu.

Memetik laporan itu, bermula Isnin ini golongan berumur 40 tahun ke atas dan mempunyai komorbid boleh mendapatkan suntikan vaksinasi secara ‘walk in’, disusuli pada 5 Ogos untuk individu berumur 18 tahun ke atas.

Pendekatan secara ‘walk in’ bagaimanapun hanya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu di Lembah Klang manakala di Pulau Pinang, warga emas boleh menerima vaksin COVID-19 secara ‘walk in’ di empat PPV yang dikenal pasti mulai 2 Ogos.

Selain strategi vaksinasi, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan penjujukan genom bagi varian COVID-19 secara konsortium dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai Ogos.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, yang mengumumkan perkara itu berkata, ia tidak lain bagi meningkatkan kapasiti surveilan genom COVID-19 dengan peruntukan RM3 juta membabitkan 3,000 sampel dalam masa tiga bulan.

Sebagai persediaan menampung kemungkinan lonjakan kes jangkitan COVID-19, terdapat beberapa negeri mengambil langkah membuka tambahan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), membabitkan tambahan sebuah PKRC di Kedah dan lapan lagi di Kelantan bermula Ogos.

Mulai 5 Ogos, Fasa Dua Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) akan berlangsung membabitkan 55,000 pekerja binaan, masing-masing 30,000 di Pulau Pinang dan 25,000 di Johor.

Pelaksanaan undang-undang menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang kali pertama diwartakan pada Mac tahun lalu dan digunakan untuk menguatkuasakan semua perintah berkaitan COVID-19 turut berfungsi sebagai ‘senjata’ mengekang penularan wabak di negara ini.

Meskipun Ordinan Darurat dibatalkan atau Proklamasi Darurat ditamatkan, ia tidak akan memberi kesan terhadap usaha kerajaan mencegah dan mengawal penularan COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

442
Kongsi :
Previous post Gerai ikan Pangkalan Nelayan Pantai Puteri jadi tumpuan
Next post Bekas petinju negara terlantar sakit
Ubah saiz-+=