Gerai ikan Pangkalan Nelayan Pantai Puteri jadi tumpuan

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

PANTAI KUNDOR 31 Julai – Penutupan beberapa pasar basah dan pasar raya di negeri ini akibat COVID-19 membuka rezeki buat peniaga gerai ikan di Pangkalan Nelayan Pantai Puteri di sini sejak pagi tadi.

Tinjauan mendapati beberapa gerai ikan segar dipenuhi pelanggan sejak ia mula beroperasi kira-kira jam 8 pagi untuk mendapatkan pelbagai jenis ikan seperti pelaling, cencaru, jenahak, parang dan tenggiri serta sotong.

Pengguna, Kamariah Abdul Karim, 53, berkata penutupan beberapa pasar basah dan pasar raya di Bandar Raya Melaka dan daerah lain seperti Masjid Tanah dan Alor Gajah, mendorong beliau dan pengguna lain berbelanja di situ.

“Adik saya di Masjid Tanah minta saya beli ikan di sini untuknya kerana Pasar Awam Masjid Tanah dan Pasar Awam Kuala Sungai Baru ditutup akibat COVID-19 dan dia tidak boleh merentas daerah ke Melaka Tengah.

“Saya terpaksa membelikan ikan untuknya sebelum menghantar kepadanya di sekatan jalan raya di Sungai Udang,” katanya.

Jamhariah Mohd Ali, 57, berkata dia terpaksa memandu kira-kira 40 kilometer untuk berulang alik dari Bandar Raya Melaka ke Pantai Puteri untuk mendapatkan ikan berikutan beberapa pasar raya di tempat tinggalnya ditutup sejak minggu lalu.

“Nasib baik di pangkalan nelayan ini ada ikan segar dan saya mendapatkan ikan untuk stok dua minggu,” katanya.

Peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Saiful berkata, kebanyakan ikan di pangkalan itu ditangkap nelayan dan tiada yang dibawa dari Pasar Borong Batu Berendam serta digemari pelanggan kerana kesegarannya.

“Kami tidak menaikkan harga meskipun pelanggan bertambah kerana pasar di bandar dan Masjid Tanah ditutup akibat COVID-19,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Masjid Tanah mendapati dua pasar awam dan dua pasar raya ditutup berikutan beberapa kes positif COVID-19 yang membabitkan peniaga dan pekerja.

Pasar Awam Kuala Sungai Baru, kira-kira 15 kilometer dari pekan Masjid Tanah diarahkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah ditutup mulai 22 Julai lalu hingga esok.

Ia berikutan seorang peniaga di pasar itu dikesan mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19 di sebuah taman perumahan di Kuala Linggi.

Selain itu, Pasar Awam Masjid Tanah di pekan Masjid Tanah ditutup mulai Selasa lalu hingga 5 Ogos depan.

Manakala sebuah lagi pasar raya yang baharu beroperasi di pekan Masjid Tanah awal tahun ini diarahkan PKD Alor Gajah ditutup mulai tengah malam Selasa lalu hingga 5 Ogos depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5095
Kongsi :
Previous post ‘Geng peguam’ Melaka edar 100 kit makanan
Next post Strategi lawan COVID-19 diperhebat
Ubah saiz-+=