‘Geng peguam’ Melaka edar 100 kit makanan

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BUKIT KATIL 31 Julai – Mendapat aduan dan keluhan daripada ramai pihak yang mengalami kesempitan hidup sejak COVID-19 melanda mendorong beberapa peguam di negeri ini memulakan inisiatif sumbangan kit makanan.

Menurut wakil peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, 39, dia bersama 30 rakan peguam di negeri ini telah mengumpulkan dana sebanyak RM6,000 dan telah menyediakan sekitar 100 kit makanan daripada peruntukan tersebut.

Katanya, bantuan-bantuan kit makanan itu kemudiannya akan diagihkan kepada mereka yang hilang kerja atau terjejas sumber pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan tanpa mengira golongan B-40 atau M-40.

“Selain kit makanan, kita juga turut menyediakan bantuan wang tunai kepada mereka tidak mampu membayar sewa rumah atau bil air dan elektrik.

“Khidmat tanggungjawab sosial korporat ini dibuat kerana kita tahu ramai yang terkesan dalam tempoh-tempoh sukar ini selain turut menerima keluhan sendiri daripada masyarakat.

“Insya-Allah sekiranya ada tambahan sumbangan, kita akan teruskan pengagihan bantuan ini secara berperingkat,” katanya selepas menyampaikan kit makanan kepada 32 penduduk Rumah Pangsa Saujana Permai, di sini hari ini.

SHEIKH Ikhzan (kiri) menyampaikan kit makanan kepada salah seorang penghuni orang kurang upaya (OKU) di Rumah Pangsa Saujana Permai, Bukit Katil.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Rumah Pangsa Saujana Permai, Wan Irwani Mohamad, 45, merakamkan penghargaan kepada kumpulan peguam di Melaka yang menunjukkan perihatinan terhadap penghuni di kawasan itu.

Katanya, sejak pandemik COVID-19 melanda, majoriti penduduk di kawasan rumah pangsa itu terjejas sumber pendapatan sehinggakan ada di antara mereka yang terputus bekalan makanan.

“Boleh dikatakan 80 peratus penduduk di sana bekerja sendiri dan apabila PKP dilaksanakan ramai yang tidak boleh keluar bekerja, termasuk mereka yang bekerja sebagai tukang rumah dan peniaga.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dengan adanya bantuan daripada orang-orang perseorangan dan agensi-agensi kerajaan negeri dapatlah membantu mereka meneruskan hidup dalam suasana norma baharu ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

823
Kongsi :
Previous post Lebih 20 juta vaksin telah diberi menerusi PICK
Next post Gerai ikan Pangkalan Nelayan Pantai Puteri jadi tumpuan
Ubah saiz-+=