Suami ‘pergi’ selepas 23 hari jadi penjawat awam

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat
AYER KEROH 12Disember – “Saat menerima surat tawaran kerja sebagai penjawat awam, arwah ceria dan sangat gembira. Apa tidaknya selepas bertahun-tahun mencuba, hasrat arwah jadi kenyataan. Tidak lama cuma 23 hari sahaja, tetapi itulah saat-saat paling bermakna buat arwah,” kata Shazulrita Norsham, 40.
Dalam keadaan menahan sebak dia menceritakan kisah arwah suaminya, Mohd Fais Basir, 33, berkhidmat tidak sampai sebulan sebagai penjawat awam sebelum dijemput Ilahi selepas terbabit kemalangan jalan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Alor Gajah, 9 Ogos lalu.
Shazulrita berkata, dia amat terharu dengan kesungguhan arwah yang mahu menjadi penjawat awam atas niat mahu mengubah nasib mereka sekeluarga.
“Memang sebak sebab tidak sampai sebulan bertugas akhirnya arwah pergi meninggalkan kami sekeluarga, meskipun tidak lama bergelar penjawat awam saya bersyukur sebab hajatnya untuk bekerja dalam bidang yang dia minat dapat dicapai.
“Sebelum ini arwah suami berhempas pulas untuk menyara keluarga dengan bekerja di kilang dan menjadi penghantar makanan p-hailing.
“Arwah memang tidak pernah berhenti berusaha, bertahun-tahun dia memohon pekerjaan yang dia impikan, memang lama betul dia tunggu akhirnya dapat. Cuma hanya sempat berkhidmat 23 hari sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, Shazulnita bersama anaknya hadir mewakili arwah suami menerima sijil penghargaan dan plak disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2023 diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Penasihat Undang-undang negeri, Datuk Abdul Aziz Engan; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta tetamu lain.
Seramai 35 pesara termasuk lapan waris pesara yang meninggal dunia telah diraikan bagi menghargai jasa dan sumbangan sepanjang berkhidmat dalam pentadbiran Kerajan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9291
Kongsi :
Previous post Wanita masyarakat India carum SKSSR masih rendah
Next post Istiadat angkat sumpah Menteri Persekutuan petang ini
Ubah saiz-+=