Sudahlah sakit, khemah meniaga pula musnah dipukul ribut

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

KESIDANG 24 Jun – Dugaan silih berganti, itulah yang dilalui oleh Nizam Tamby, 49, dari Taman Limbongan Permai, selepas khemah tempatnya berniaga bagi menjana pendapatan tambahan musnah dalam kejadian ribut malam kelmarin.

Pada 2019 Nizam terbabit kemalangan di Klebang ketika menunggang motosikal untuk ke tempat kerjanya di Kem Terendak.

Akibat kemalangan dia kini menderita sakit tulang pinggang, mengalami kerosakan usus, buah pinggang bengkak, pendarahan pada bahagian belakang kepala dan masalah darah tinggi.

Meskipun dalam keadaan tahap kesihatan tidak menentu Nizam perlu mencari pendapatan tambahan berikutan gajinya sebagai pembantu am rendah hanya sekitar RM1,500 sahaja setiap bulan.

Jumlah itu tidak cukup untuk menampung keperluan sembilan anaknya termasuk lima yang masih bersekolah.

“Selain itu mentua saya juga tidak sihat, jadi saya dan isteri Norehan Nikmat, 35 mengusahakan gerai menjual makanan di halaman rumah, meskipun pulangan diperoleh tidak seberapa.

“Setakat ini sudah tidak kali saya terpaksa beli khemah baharu, semua rosak akibat dibadai ribut, kerana mahu berjimat sebelum ini saya tampal bahagian khemah yang rosak,” katanya.

Terdahulu Nizam dikunjungi Pasukan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) yang diketuai Presidennya, Ashwad Abdul Rahim yang menyumbang dua khemah bagi mengantikan khemah yang rosak sebelum ini.

Sukarelawan PSBM turut membersih tapak niaga, menyumbang kit makanan dan sedang mengenal pasti bentuk bantuan lain termasuk set rawatan tulang belakang untuk Nizam agar dia boleh menjalani urusan harian dengan selesa.

Katanya, dia sudah dinasihatkan menjalani pembedahan merawat pendarahan di kepalanya kerana sudah beberapa kali diserang sawan namun enggan mengambil risiko.

“Bila doktor beritahu peluang untuk sembuh selepas pembedahan adalah 50-50, saya tidak mahu ambil risiko, kalau berlaku apa-apa pada saya, apa akan jadi pada isteri dan anak-anak ,” katanya.

Menceritakan tentang insiden ribut tersebut, katanya, dia dan isteri selesai berniaga sekitar jam 11 malam dan kira-kira dua jam selepas itu, kedengaran bunyi besi khemah memukul tingkap rumah.

“Disebabkan saya tidak mampu berdiri lama dan mengangkat beban berat, saya menjerit meminta bantuan dua anak berusia 16 dan 14 tahun, mujur mereka segera memberi pertolongan.

“Kami terpaksa memegang besi khemah selama lebih 20 minit dan hanya mampu melihat peralatan niaga diterbangkan ribut. Selepas insiden, saya dan isteri cuba mencari khemah yang dijual lebih murah atau khemah lama namun tidak berhasil, maklumlah semua barang dijual mahal sekarang,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

912
Kongsi :
Previous post PM umum tarif elektrik, air di Semenanjung kekal, harga ayam tidak diapung
Next post 73 laporan palsu babitkan hilang kad pengenalan diterima di Gombak – Polis
Ubah saiz-+=