Sukan golf rancakkan sektor pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 11 Julai – Aktiviti sukan yang dianjurkan di negeri ini mampu merancakkan ekonomi Melaka sekaligus memenuhi hasrat kerajaan negeri untuk mencapai sasaran kehadiran 20 juta pelancong menjelang hujung tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, antara sukan yang mendapat permintaan adalah sukan golf dan ia menjadi produk pelancongan terbaharu untuk menjana pendapatan negeri.

Menurutnya, di Melaka sahaja terdapat enam lapangan golf iaitu di Ayer Keroh Country Club (AKCC), Jasin Heritage Golf Club (JHGC), Orna Golf and Country Club (ORNA), Tiara Melaka dan Terendak Golf Club.

“Daripada enam lapangan tersebut, empat daripadanya bertaraf antarabangsa dan keempat-empatnya 27 lubang.

“Kebanyakan pemain golf yang datang ke negeri ini bukan hanya datang seorang sebaliknya akan membawa keluarga untuk menginap di sini.

“Ia sekaligus dapat meningkatkan ekonomi Melaka secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Jom Golf ke Melaka di Tiara Melaka Golf and Country Club di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan dan Pengerusi Jawantankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa aktiviti sukan yang dianjurkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah selamat.

“Kita tetap mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang digariskan dan pemain golf tidak terkecuali daripada pematuhan itu.

“Jangan risau kerana Melaka sudah diisytiharkan sebagai negeri Zon Hijau Covid-19 malah kita juga antara tiga negeri terbaik mematuhi 98 peratus mencapai SOP,” katanya.

Views:

367
Kongsi :
Previous post CIDB peruntukan RM70 juta bantu industri pembinaan
Next post Tiga prinsip, lima tonggak harus dipraktikkan Tentera Darat – Zamrose
Ubah saiz-+=