Sukan medan ketengah bakat, ‘roboh’ tembok negatif terhadap madrasah tahfiz

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PAYA RUMPUT 10 Ogos – Kejohanan Liga Penalti Antara Madrasah Negeri Melaka menjadi medan untuk mengasah bakat pelajar madrasah dalam bidang sukan.

Setiausaha Persatuan Tahfiz Negeri Melaka (PERTAME), Rohizal Kassim berkata, kejohanan seumpama itu mampu melahirkan pelajar tahfiz yang serba boleh dan dinamik.

Katanya, pendedahan sukan kepada pelajar tahfiz juga berupaya membentuk minda yang cergas, sekali gus mendidik generasi tahfiz bergerak seiring di antara dunia dan akhirat.

“Lazimnya kita tahu pelajar madrasah tahfiz ini sering digambarkan dengan imej berjubah, berserban atau berkopiah putih dan masyarakat memandang golongan madrasah ini hanya mengejar akhirat sahaja.

“Sebenarnya, kita mahu gambaran itu ditukar dengan persepsi positif, di mana pelajar tahfiz ini juga seperti remaja di luar sana yang turut aktif bersukan.

“Kita jadikan kejohanan Liga Penalti ini sebagai medan mengetengahkan bakat pelajar tahfiz yang sememangnya menitikberatkan aspek rohani dan jasmani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kejohanan Liga Penalti antara Madrasah Negeri Melaka di sebuah kompleks sukan di Cheng, di sini, semalam.

photo1691581393
Setiausaha Persatuan Tahfiz Melaka (PERTAME), Rohizal Kasim. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Rohizal berkata pihaknya turut merancang untuk menganjurkan kejohanan seumpama itu membabitkan madrasah tahfiz di seluruh negara.

Jelasnya, langkah itu sedikit sebanyak dapat menutup pandangan negatif segelintir masyarakat mengenai masalah sosial dalam kalangan remaja yang sedang berlaku ketika ini.

“Kita mahu jadikan kejohanan-kejohanan melibatkan madrasah ini diangkat tinggi dan dijadikan medan untuk memecahkan tembok pandangan negatif masyarakat terhadap institusi pengajian tahfiz yang ketika ini sedang dileret musibah.

“Banyak lagi madrasah yang asli, tulen pembelajaran jauh dari isu negatif ini yang mampu melahirkan pemimpin umat serba boleh dan menerusi riadah juga antara medan yang akan digunakan untuk ketengahkan bakat pelajar ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1112
Kongsi :
Previous post Pondok Darul Ulum Al-Arabiyyah Al-Islamiyyah juara Liga Penalti Antara Madrasah Melaka
Next post Tarik peminat sukan berbasikal ke Melaka
Ubah saiz-+=