Tarik peminat sukan berbasikal ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SERI NEGERI 10 Ogos – Perlumbaan Le Tour De Langkawi 2023 (LTDL 2023) bagi peringkat ke-6 akan melalui kawasan dan lokasi bersejarah sekitar negeri ini.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata, LTdL 2023 adalah acara terbaik untuk mempromosikan Negeri Melaka dalam kalangan penggiat sukan berbasikal antarabangsa.

Katanya, usaha itu perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh kerana penganjuran LTdL 2023 secara tidak langsung menjadi medium untuk mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Kerajaan Negeri juga sedang meneliti dua kertas kerja daripada penganjur LTdL 2023 antaranya membabitkan promosi TMM2024 menerusi perarakan ‘cavalcave’ dan penajaan jersi utama perlumbaan.

“Kedua-dua cadangan ini saya sudah dibawa ke pengetahuan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang lalu.

“Kita akan pertimbangkan perkara ini sebaiknya mengikut ‘costing’ (peruntukan) kita,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Peringkat Negeri Perlumbaan LTdL 2023 Peringkat ke-6 Dari Karak Ke Melaka di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, Seri Negeri, di sini pada Selasa.

Mesyuarat dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari itu turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Datuk Maslina Baki.

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri, Khairul Adri Rosli

Shanmugam berkata, turut disentuh adalah cadangan Melaka sebagai lokasi permulaan bagi penganjuran LTdL untuk edisi akan datang.

“Mengikut kebiasaan promosi akan berlangsung selama empat hari sebelum kayuhan bermula, jadi kita melihat ini sebagai satu peluang untuk memaklumkan kepada masyarakat dunia mengenai apa yang kita tawarkan sepanjang TMM2024 nanti.

“Perlumbaan LTdL 2023 di Melaka sebenarnya membabitkan dua hari. Ini kerana bagi peringkat ke-7 Muar ke Seremban, beberapa lokasi di negeri ini akan menjadi laluan pelumba.

“Jadi kita akan manfaatkan sepenuhnya LTdL 2023, bukan sahaja untuk mempromosikan TMM2024 sebaliknya mencerminkan Melaka sebagai negeri terbersih dan terindah kepada dunia. Melaka adalah tempat segalanya bermula,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1223
Kongsi :
Previous post Sukan medan ketengah bakat, ‘roboh’ tembok negatif terhadap madrasah tahfiz
Next post Hasrat pesakit kanser pakai seragam bomba tercapai
Ubah saiz-+=