Sukan Melaka erat hubungan kerajaan, masyarakat

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 14 Oktober – Lebih 10,000 rakyat negeri ini menjayakan Sukan Melaka 2023 bagi merebut Piala YAB Ketua Menteri Melaka tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran yang diadakan bersempena Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Melaka 2023 (HSNM2023) itu membawa mesej positif dalam menjadikan sukan sebagai medium penghubung dan merapatkan hubungan Kerajaan dan masyarakat.

Jelasnya, penganjuran yang dianjurkan di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu mempertandingkan lima acara sukan iaitu bola sepak, sepak takraw, bola jaring, futsal dan bola keranjang.

“Lima acara sukan ini telah bermula di peringkat DUN di seluruh Melaka seawal Ogos lalu.

“Sebanyak 28 pasukan bola sepak, 28 pasukan bola jaring, 28 pasukan futsal dan 56 regu sepak takraw akan mewakili DUN masing-masing berentap di peringkat negeri yang mana ia akan berlangsung bermula hari ini, esok dan diikuti pada 21 dan 22 Oktober.

“Saya difahamkan, penganjuran Sukan Melaka di peringkat DUN telah berjaya menarik penyertaan seramai 13,338 orang bagi empat jenis sukan iaitu sepak takraw seramai 418 regu dengan penyertaan 2,508 pemain diikuti bola jaring 185 pasukan dengan seramai 2,590 pemain, bola sepak 235 pasukan dengan 4,700 pemain dan futsal sebanyak 295 pasukan disertai 3,540 pemain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan HSNM2023 di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP. Shanmugam; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka Khairul Adri Rosli; Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal.

IMG_20231014_135639_171
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bergambar bersama peserta dari kontinjen DUN Tanjung Bidara sempena Majlis Perasmian Program Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Melaka dan Majlis Perasmian Sukan Melaka 2023 Peringkat Negeri Melaka Piala YAB Ketua Menteri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Selain menumpukan lima acara sukan berkenaan, Ab Rauf berkata, HSNM2023 turut menyediakan pelbagai program dan aktiviti menarik kepada peserta dan orang ramai.

Katanya, antara program yang diadakan ialah seperti smlarian, berjalan kaki, berbasikal, senam robik, sukan tradisional, sukan seni mempertahankan diri (SMD), sukan integrasi Orang Kelainan Upaya (OKU), sukan lasak dan sukan elektronik.

“Saya percaya, penglibatan komuniti dalam membudayakan sukan sebagai gaya hidup aktif dan sihat secara tidak langsung membawa kepada peningkatan produktiviti kerja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1030
Kongsi :
Previous post Lembu siapa merayau di Lebuh AMJ?
Next post Belanjawan 2024 dinamik, bimbing pembangunan Malaysia gemilang – KM
Ubah saiz-+=