Sukarelawan MyVac dicari

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

MELAKA 18 Mac. – Melaka memerlukan lebih ramai sukarelawan Malaysia Vaccine Mobilization (MyVac) dalam kalangan belia yang berusia 18 hingga 40 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, MyVac diperkenalkan bagi memudah cara dan membantu petugas barisan hadapan melaksanakan pergerakan penerima vaksin di semua 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri.

Menurutnya, mereka yang berminat ditawarkan bayaran elaun RM50 sehari dan ditempatkan di PPV di seluruh negeri dengan syarat sihat tubuh badan (tidak mengidap penyakit kronik) dan sedia berkhidmat selama tiga bulan ke atas.

“Mereka ini akan membuat kerja-kerja saringan gejala, suhu badan, memastikan orang awam mendaftar MySejahtera dan menghubungi senarai penerima vaksin yang layak tetapi tidak berdaftar dengan aplikasi MySejahtera.

“Lokaliti sukarelawan mengikut lokasi PPV berdekatan dengan mereka dan sewaktu bertugas sukarelawan akan memakai tag nama serta jaket bagi memudahkan orang awam mengenali mereka,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat pasca Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri.

Mohd Rafiq berkata, 29 PPV di Melaka meliputi Alor Gajah sebanyak lapan, Jasin (sembilan PPV) dan Melaka Tengah (12 PPV).

“Seramai 290 orang akan dilantik sebagai sukarelawan MyVac dengan 10 orang ditempatkan di setiap PPV dan mereka ini akan bertugas secara bergilir dengan lima orang pada satu-satu masa bermula 1 April depan,” katanya.

Mereka yang berhasrat menjadi sukarelawan masih berpeluang berbuat demikian kerana tidak ada tarikh akhir penyertaan dan pendaftaran boleh dibuat dengan mengimbas Kod QR atau melayari terus laman web Kementerian Belia Sukan di www.kbs.gov.my.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1233
Kongsi :
Previous post Kerajaan negeri fail pembelaan dan tuntutan balas terhadap KAJ Development
Next post Awas anda diperhatikan RM-SBV
Ubah saiz-+=