
Sulaiman bentang pencapaian setahun pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka
BANDA HILIR 12 April – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali hari ini hadir membentangkan pencapaian setahun Kerajaan Negeri Melaka bertempat di Hotel Hatten, di sini.
Difahamkan, pembentangannya bakal menekankan sebanyak 24 sub topik membabitkan inisiatif kepada rakyat serta kejayaan tadbir urus sejak 365 hari mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan negeri.
Selain itu, beliau juga bakal menyempurnakan gimik pelancaran Pencapaian Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2020-2021 dan Coffee Table Book Melaka 2035.
Beliau kemudiannya akan menyerahkan dokumen Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) dan pencapaian setahun itu kepada semua Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).
Terdahulu, beliau tiba di perkarangan hotel pada jam 9.25 pagi dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan.
Majlis itu turut dihadiri kesemua ketua-ketua jabatan, penjawat awam serta wakil agensi kerajaan negeri dan persekutuan di negeri ini.
Sulaiman, 56, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 di hadapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Utama, Seri Negeri Ayer Keroh pada 9 Mac 2020.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.