Sumbangan untuk tentera bertugas di Aidilfitri meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

DURIAN TUNGGAL 24 Mac – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerima peningkatan sumbangan daripada badan korporat untuk diagihkan kepada anggota pertahanan yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, sumbangan tersebut meningkat sebanyak 41 peratus berbanding nilai sumbangan tahun lalu yang dianggarkan melebihi RM2 juta.

Katanya, agihan sumbangan berkenaan merupakan salah satu usaha untuk memastikan kebajikan warga anggota pertahanan sentiasa terpelihara.

“Baru-baru ini Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anggota pertahanan yang bertugas di perbatasan dan akan diagihkan kepada semua anggota secara berperingkat.

“Kita masih lagi memuktamadkan jumlah yang diterima (sumbangan) tapi memang ada peningkatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Adly Zahari di Dataran Gangsa, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil memaklumkan kerajaan membelanjakan jumlah yang besar untuk veteran tentera yang tidak berpencen pada tahun ini.

“Pada tahun ini peruntukan yang disediakan buat veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen meningkat sebanyak 167 peratus.

“Sumbangan paling besar adalah bantuan sara hidup (BSH) setiap bulan kepada veteran yang tidak berpencen kerana sebelum ini golongan tersebut hanya mendapat RM300 secara ‘one-off’.

“Setakat ini seramai 27,000 anggota vateran yang tidak berpencen menerima manfaat berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

73
Kongsi :
Previous post Imarahkan masjid sepanjang Ramadan
Next post Aidilfitri: Rondaan SRS di Melaka akan dipertingkatkan
Ubah saiz-+=