Aidilfitri: Rondaan SRS di Melaka akan dipertingkatkan

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUALA LINGGI 24 Mac – Skim Rondaan Sukarela (SRS) akan dipertingkatkan di kampung-kampung dan taman perumahan seluruh Negeri Melaka sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, perkara itu dilakukan bagi mengelakkan kejadian pecah rumah, khususnya kepada mereka yang akan pulang ke kampung untuk menyambut hari raya.

Menurutnya, SRS terlibat akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan rondaan di kawasan kejiranan masing-masing.

“Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan mengeluarkan surat pemakluman kepada kesemua 253 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Negeri Melaka untuk mempergiatkan rondaan dan kawalan keselamatan.

“Hal ini dilakukan bagi memastikan kawasan kejiranan berada dalam keadaan selamat ketika ada penghuni yang pulang ke kampung untuk meraikan Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Melaka 2024 di Japerun Kuala Linggi, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah dan Pengarah JPNIN Negeri Melaka Intan Suhana Yusuff.

Dalam pada itu, Hee Sem memaklumkan kesemua KRT di Melaka juga disarankan untuk bergerak aktif menjalankan gotong-royong di kawasan masing-masing bagi membanteras nyamuk Aedes.

Menurutnya, peranan setiap komuniti amat penting dalam memastikan kawasan kejiranan selamat dan bebas daripada ancaman demam denggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post Sumbangan untuk tentera bertugas di Aidilfitri meningkat
Next post MINDEF sedia beri kerjasama kes anggota lakukan kekasaran
Ubah saiz-+=