MINDEF sedia beri kerjasama kes anggota lakukan kekasaran

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

DURIAN TUNGGAL 24 Mac – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat anggota terlibat dengan kekasaran.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, kerjasama akan diberikan sebaik mendapat laporan mengenai sebarang salah laku khususnya membabitkan kes keganasan rumah tangga.

Menurut beliau, bagi kes-kes kekasaran membabitkan anggota di dalam kem tentera pula, siasatan dalaman akan dilakukan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Kita akan pantau mengenai perkara ini kerana institusi kekeluargaan membabitkan anggota pertahanan sentiasa menjadi keutamaan MINDEF.

“Ini kerana kekeluargaan merupakan teras untuk setiap anggota melakukan tugas sebaik mungkin.

“Justeru, jika berlaku (kes-kes kekasaran), tindakan yang diambil ialah kita akan melakukan siasatan sekiranya ia berlaku di dalam kes, manakala jika ada laporan polis, kita sedia memberikan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama YB Adly Zahari di Dataran Gangsa di sini, malam tadi.

Sebelum ini, tular sebuah klip video mengenai seorang anggota tentera berpangkat Lans Koperal disyaki mengasari isterinya di sebuah flat di Sungai Udang.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah memaklumkan, kes itu berlaku 31 Disember tahun lalu dan kertas siasatan kes berkenaan kini berada di Bahagian Pendakwaan/Undang–Undang (D5) Bukit Aman.

Mengulas lanjut, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang akan sentiasa memberi peringatan dan didikan kepada anggota untuk bertanggungjawab bukan sahaja terhadap tugas, tetapi juga kepada keluarga.

“Anggota yang mempunyai sokongan keluarga adalah teras untuk melakukan yang terbaik kepada negara. Jadi, kira berharap jika ada isu dalaman, adalah lebih baik untuk diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu.

“Namun, jika ia melibatkan pihak polis, kita akan menyerahkan kes itu kepada pihak polis,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

106
Kongsi :
Previous post Aidilfitri: Rondaan SRS di Melaka akan dipertingkatkan
Next post Peniaga buluh lemang tambah bekalan untuk penuhi permintaan
Ubah saiz-+=