Sungai Rambai jadi hab kuih tradisional, tarik pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SUNGAI RAMBAI 18 April – Sungai Rambai mampu menjadi hab kuih tradisional yang boleh menarik lebih ramai pelancong ke gerbang selatan itu menjelang Tahun Melawat Melaka 2024.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis berkata kawasan itu mempunyai ramai pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang boleh diketengahkan.

Berikutan itu, katanya pihaknya menjalankan pelbagai program bagi meningkatkan ekonomi pengusaha PKS sebagaimana dihasratkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Menjelang Aidilfitri ini, kita juga ada buat jualan kuih raya daripada pengusaha PKS, selain mengacau 14 kawah dodol yang melibatkan 10 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta empat agensi yang terdapat dalam Parlimen Jasin.

“Kita ketengahkan enam kuih tradisional termasuk bahulu, kuih denderam, kuih koya serta kuih karas dan kita melihat untuk menjadikan semua kuih tradisional ini dihasilkan tidak bermusim jadi  kita akan usahakan insya Allah dlm tempoh terdekat ini untuk jadikan Sungai Rambai sebagai satu hab kuih tradisional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di pemberita selepas menghadiri Program Kuih Tradisional dan Pelita Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Terdahulu, program berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menyalakan pelita gergasi di Dataran Sabit sebagai simbolik menyempurnakan majlis berkenaan.

Hadir sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Berhubung program berkenaan,Situ Faizah berkata menerusi program Pelita Raya Aidilfitri, ia adalah acara tahunan yang diadakan seperti tahun lalu yang mana sebelum ini diadakan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai arah utara dan sambutannya amat menggalakkan.

“Tahun kita teruskan dan memandangkan tahun hadapan adalah Tahun Melawat Melaka 2024 jadi kita ambil kesempatan untuk menganjurkan program sebegini bagi menaikkan ekonomi Sungai Rambai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1011
Kongsi :
Previous post Melaka perhebat kembali pelancongan pendidikan
Next post Pelancongan Melaka ‘tidak cuti’ Aidilfitri ini
Ubah saiz-+=