‘Survivor’ COVID-19 Melaka jadi ikon sedarkan masyarakat

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BUKIT KATIL 3 Okt. – Jabatan Rawatan Rapi Hospital Melaka dan Kelab Rawatan Kesakitan Melaka (PSM) telah menganjurkan program khidmat masyarakat dikenali sebagai We Care dengan menyantuni bekas pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 di negeri ini.

Seramai 20 bekas pesakit telah diziarahi menerusi program khidmat masyarakat yang diadakan selama tiga hari, bermula Jumaat (1 Oktober) dan berakhir hari ini.

Wakil program, Dr Kamil Irsyad Yusoff, 29 berkata, program itu bertujuan untuk melihat sendiri situasi semasa bekas pesakit COVID-19 yang terselamat daripada wabak berkenaan.

DR Kamil Irsyad

Beliau yang juga Pegawai Kesihatan ICU Hospital Melaka berkata, menerusi program berkenaan, pihaknya turut mendengar sendiri pengalaman oleh kesemua bekas pesakit yang mana ia kemudiannya bakal dikongsi bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Objektif kita ialah selain mengetahui perkembangan kesihatan bekas pesakit, kita juga berpeluang mendengar sendiri pengalaman mereka.

“Melalui pengalaman yang dikongsikan, kita berharap ia dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai COVID-19 memandangkan ada segelintir yang tidak percaya dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat bekas pesakit COVID-19 tahap 5 di Taman Bukit Katil, di sini, hari ini.

Selain bertanya khabar, beliau bersama sembilan lagi pegawai perubatan Hospital Melaka dan ahli kelab PSM turut menyampaikan sumbangan kepada bekas pesakit COVID-19 yang dilawati itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

805
Kongsi :
Previous post KM, wakil rakyat Melaka bakal dilantik pegawai bersekutu APM
Next post Oktober bermulanya peralihan fasa endemik
Ubah saiz-+=