Oktober bermulanya peralihan fasa endemik

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR 3 Okt – Semakin hari semakin baik, kes jangkitan COVID-19 menyaksikan penurunan dan Oktober menjadi bulan yang paling penting kerana banyak aktiviti kembali dibuka, dengan kadar vaksinasi penuh golongan dewasa mencapai sasaran 90 peratus dan bilangan remaja divaksin terus meningkat.

Rentas negeri, pembukaan pusat pelancongan, pembukaan institusi pengajian tinggi, pembelajaran di sekolah secara fizikal, pembukaan venue sukan kepada kehadiran penonton, antara senario yang akan kembali mewarnai suasana harian negara ini.

Sekolah perlu dibuka bagi menaikkan semula semangat pelajar untuk bersekolah setelah sekian lama berenggang sesama mereka, walaupun isu guru enggan divaksin menghantui ibu bapa yang takutkan anak-anak mereka terdedah kepada jangkitan virus.

Namun, terlalu awal bagi warga Malaysia untuk meraikannya, kerana belum tentu fasa endemik tercapai menjelang akhir Oktober, malah keadaan kita masih belum selamat kerana varian yang ada terutamanya varian Delta, dikatakan belum melalui proses mutasi yang boleh membahayakan nyawa semua.

Disebabkan itu, semua dinasihatkan supaya tidak leka, malah harus terus berhati-hati dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dtetapkan kerajaan, bagi mengelakkan kenaikan semula kes jangkitan.

Inilah harapan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada mesyuarat mingguannya untuk memutuskan segala cadangan tindakan ke arah endemik, setelah perkara-perkara itu diperhalusi oleh Kuartet Menteri COVID-19 diketuai Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Semua cadangan itu terlebih dahulu dikenal pasti dan dibincangkan pada peringkat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad.

Menurut Pakar Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman, walaupun sudah diberikan kebebasan, namun masyarakat perlu terus memberi komitmen mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan langkah-langkah pencegahan, bagi mengelak kemungkinan berlakunya penularan dan juga kluster kes-kes yang baharu.

Kementerian Kesihatan menyasarkan Malaysia bakal memasuki fasa transisi ‘hidup bersama virus COVID-19’ sebelum beralih ke fasa endemik, dengan bilangan kes berada dalam kadar yang dijangkakan dan tidak membebani kesihatan awam, bergantung pada kekuatan dan tempoh masa perlindungan ketahanan daripada vaksinasi dan infeksi semula jadi.

Antara petunjuk bagi negara beralih ke fasa pandemik ialah kadar kes kritikal bagi 100,000 populasi ialah 0.5, di mana kadar berkenaan setakat 25 Sept lepas ialah 1.9.

Petunjuk lain ialah lima peratus kemasukan ke hospital bagi kategori tiga hingga kategori lima dari keseluruhan kemasukan ke hospital, di mana peratusan berkenaan setakat 25 Sept lepas ialah 10 peratus sementara petunjuk lain ialah peratusan penggunaan katil hospital bukan Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah kurang 30 peratus, manakala peratusan penggunaan katil ICU ialah 20 peratus bagi memasuki fasa endemik.

Bagi orang ramai pula, fasa berkenaan bermaksud mereka perlu terus mematuhi SOP yang telah disemak dan dipermudah, bertanggungjawab dan membuat penilaian risiko kendiri termasuk bagi yang sudah divaksin lengkap dan memastikan akses ke kepada penjagaan kesihatan dalam waktu yang tepat.

Dalam peralihan dari pandemik kepada fasa endemik beberapa perkara perlu diambil kira termasuk tidak boleh mengelak daripada virus COVID-19 sepanjang hidup, tetapi boleh meminimumkan impaknya, mengawal kes sakit dan yang teruk dengan sistem kesihatan yang tidak terlalu terbeban.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

309
Kongsi :
Previous post ‘Survivor’ COVID-19 Melaka jadi ikon sedarkan masyarakat
Next post Usaha basmi kemiskinan lebih difokuskan – PM
Ubah saiz-+=