Suspek menyorok dalam tangki air

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 20 Jan- Polis menahan empat lelaki berusia 32 hingga 43 tahun kerana disyaki terbabit dalam aktiviti samun bersenjatakan parang hasil beberapa serbuan berasingan.

Tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, antara jam 12.30 tengah malam sehingga 5 pagi di Bukit Beruang dan Bukit Katil.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, bermula 9 hingga 15 Jan pihaknya menerima tiga laporan berkaitan kejadian samun bersenjatakan parang membabitkan warga asing.

“Ketika serbuan di sebuah rumah pangsa, seorang suspek cuba meloloskan diri namun dia berjaya dikesan ketika sedang bersembunyi dalam tangki air.

“Kita terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menahannya.

“Suspek terbabit kes samun sekitar Batu Berendam dan Ayer Keroh, mereka ini dipercayai aktif melakukan jenayah sejak awal tahun ini,” katanya.

Christopher berkata, pihaknya percaya dapat menyelesaikan tiga kes samun sekitar daerah ini dengan tangkapan dilakukan.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine.

“Semakan dilakukan turut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau selain itu tiga daripada mereka tersenarai sebagai orang dikehendaki.

“Kesemua mereka kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan 395/397 akta sama,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1358
Kongsi :
Previous post Amaran banjir di Selangor tidak diendah sesetengah pihak – PM
Next post Banjir: 55 maut, dua masih hilang – PM
Ubah saiz-+=