SWM beroperasi seperti biasa sepanjang TBC di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

PAYA RUMPUT 8 Feb. – Sebanyak 79 lori kompaktor dan lori ‘tipper’ terbuka dengan kekuatan 366 petugas SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan digerakkan bagi melakukan kerja pembersihan sepanjang Tahun Baharu Cina (TBC) di Melaka.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, tumpuan diberikan kepada kawasan yang mempunyai bilangan penduduk Cina yang ramai sempena sambutan TBC mengelakkan berlakunya longgokan sampah tambahan yang banyak dan tidak terkawal.

Pihak operasi, jelasnya, telah mengenal pasti lokasi utama tersebut untuk kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam terutamanya di lokasi tong sampah berpusat.

“SWM Environment di Melaka beroperasi seperti biasa sepanjang TBC termasuk dua hari cuti umum pada 12 dan 13 Februari ini.

“Kita juga merancang strategi bagi operasi di musim perayaan ini denyusun jadual kutipan sampah dan memastikan tenaga kerja serta jumlah kenderaan yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan mengelakkan pembaziran makanan sepanjang musim perayaan ini.

“Memandangkan TBC disambut ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, orang ramai dijangka lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Maka, peningkatan janaan sisa pepejal di rumah dijangka berlaku hasil kekerapan aktiviti seperti memasak dan memesan perkhidmatan penghantaran makanan.

“SWM Environment juga memohon kerjasama daripada penduduk negeri Melaka agar bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran di rumah atau di kawasan awam dengan membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan,” katanya.

Mohd Norlisam berkata, orang ramai juga disaran mengamalkan budaya Pengasingan Sisa Pepejal di Punca (SAS) serta aktiviti 3R (kurangkan, guna semula, kitar semula) sebagai rutin seharian.

“Tiba masanya kita mengamalkan pengasingan sampah mengikut kategori yang betul sebagai sebahagian daripada norma baharu kehidupan. Penduduk boleh merujuk jadual kutipan seminggu sekali oleh SWM Environment bagi menguruskan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula.

“SWM Environment turut menyediakan inisiatif KITARecycle yang membolehkan pengguna yang berdaftar mendapat mata ganjaran bagi lebih 20 jenis barangan kitar semula,” katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam sepanjang tempoh sambutan Tahun Baru Cina ini, orang ramai boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 dan Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082.

Views:

1420
Kongsi :
Previous post Format SPM 2020 kekal-LPM
Next post Polis Melaka periksa setiap individu kuarantin kendiri, pastikan tiada pelanggaran SOP.
Ubah saiz-+=