SWM kongsi keceriaan Krismas bersama insan istimewa

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

ALOR GAJAH 17 Dis – Bersempena perayaan Hari Natal, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Melaka berkongsi keceriaan bersama 25 kanak-kanak istimewa dan warga emas di negeri ini.

Ia diadakan menerusi program SWM Kasih Krismas bersama Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa dan Warga Emas Alor Gajah yang berlangsung semalam.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dijalankan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan pihak syarikat untuk membantu insan memerlukan.

Jelasnya, ia juga bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak melupakan golongan kurang bernasib baik khususnya menjelang musim perayaan.

“Selain berusaha memberi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang terbaik, SWM Environment turut komited mendekati masyarakat dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Melalui program SWM Kasih Krismas, diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu kelangsungan operasi Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa dan Warga Emas Alor Gajah serta memberi keceriaan kepada semua penghuninya.

“Sekurang-kurangnya penghuni di rumah kebajikan ini tahu bahawa masih ada pihak yang mengambil berat terhadap kebajikan mereka,” katanya.

PENGURUS Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin (tiga dari kanan) menyerahkan barangan sumbangan kepada Pengerusi Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa dan Warga Emas Alor Gajah, S Thomas (dua dari kiri).

Antara sumbangan yang diberikan kepada Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa dan Warga Emas Alor Gajah adalah barangan makanan, barangan keperluan harian dan kelengkapan penjagaan diri.

Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa dan Warga Emas Alor Gajah turut didaftarkan di bawah program KITARecycle iaitu sebuah program kitar semula oleh SWM Environment yang menawarkan mata ganjaran kepada ahlinya.

Melalui program KITARecycle ini membolehkan orang ramai melakukan ‘kitar semula sambil beramal’ dengan menyumbang bahan-bahan kitar semula kepada Persatuan Kebajikan Kanakkanak Istimewa dan Warga Emas Alor Gajah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1073
Kongsi :
Previous post Agong berkenan terima menghadap PM untuk mesyuarat pra-Kabinet
Next post Banjir: Dua PPS dibuka di Gua Musang babitkan 129 mangsa
Ubah saiz-+=