Syed Saddiq digesa mohon maaf terbuka atas tuduhan terhadap UMNO, BN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

JOHOR BAHRU, 18 Okt – Barisan Nasional (BN) Johor mendesak Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta maaf secara terbuka kepada UMNO dan BN atas tuduhan melulunya terhadap parti serta gabungan itu susulan ceramahnya di Muar, Ahad lepas.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Syed Saddiq tanpa usul periksa, bukti dan saksi telah membuat fitnah dengan menuduh UMNO dan BN mencetuskan kekecohan pada ceramah tersebut.

“Saya mengamati secara teliti apa yang dikatakan oleh Syed Saddiq dalam sebuah video yang tular semalam.

“Selaku Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum BN Johor, saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan melampau Syed Saddiq yang seolah-olah ingin memberikan imej buruk kepada UMNO dan BN,” kata Onn Hafiz menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Menteri Besar Johor itu berkata Syed Saddiq perlu meminta maaf dan bertanggungjawab atas tuduhan melulu dan provokasi yang bertujuan menimbulkan perasaan benci rakyat terhadap UMNO dan BN.

“Hentikan politik tidak matang! Saya mendesak beliau (Syed Saddiq) untuk meminta maaf kepada orang UMNO dan BN secara terbuka dengan kadar yang segera,” katanya.

Kekecohan berlaku apabila kira-kira 30 individu tidak dikenali muncul pada program Ceramah Mega Muar anjuran MUDA yang dipercayai mencemuh dan melakukan kekecohan hampir tiga minit ketika Syed Saddiq menyampaikan ucapan.

Kumpulan individu berkenaan didakwa menjerit ‘penipu’ ketika Syed Saddiq bercakap mengenai bantuan yang disalurkannya sebelum ini sehingga ceramahnya terganggu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1869
Kongsi :
Previous post Pemandu treler ditahan bantu siasatan dakwaan dipukul anggota trafik
Next post MetMalaysia keluarkan nasihat Taufan Nesat
Ubah saiz-+=