‘Syukur boleh niaga Ramadan kali ini’

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BUKIT KATIL 13 April. – “Saya tak tahu cara orang lain tapi saya nak ubah kehidupan keluarga dan tidak mengharapkan bantuan semata-mata.”

Itu tekad ibu kepada enam anak, Nurul Asikin Ismail, 43, yang bersyukur apabila dapat kembali berniaga pada Ramadan kali ini berbanding tahun lalu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurutnya, pernah dalam sebulan hanya enam tempahan set makan tengah hari yang diterimanya.

NURUL Asikin… tekad ubah kehidupan keluarga dan tidak mengharapkan bantuan semata-mata.

“Rasa berat tapi saya teruskan juga selagi boleh, tapi alhamdulillah dua bulan ni dapat banyak juga tempahan, dapatlah beli barang keperluan di rumah.

“Perancangan bulan puasa ni nak jual lauk-pauk dalam pakej set tapi COD (pembayaran semasa penghantaran) juga, bukan tak mahu sewa tapak, cuma lebih selesa kumpul tempahan banyak-banyak,” katanya ketika ditemui MHI di Rumah Pangsa Taman Saujana Permai, baru-baru ini.


SET Nasi Kurma Ayam antara menu yang mendapat sambutan.

Katanya, jika bukan di bulan puasa dia dan suami memilih untuk berniaga di hadapan sekolah berdekatan rumah kerana memudahkan urusannya yang masih mempunyai anak kecil.

“Anak saya enam orang, dewasa umur 17 tahun (perempuan) dan kecil sekali umur empat tahun, setakat ini yang bersekolah lima orang iaitu tingkatan lima, tingkatan empat, darjah enam, darjah dua dan darjah satu.

“Suami niaga juga dia pun boleh memasak, macam bulan puasa ni kami jual set ayam penyet, pecel lele, nasi kurma ayam dan bubur nasi berlauk.

“Lepas raya Aidilfitri kalau ada rezeki kita nak ke depan lagi, jual menu lain supaya tak sama dengan kawan-kawan yang niaga,” katanya yang berniaga sejak 2017.

PERSIAPAN barang-barang tempahan dibuat pelanggan.

Nur Asikin berkata pada awalnya dia hanya berniaga ‘ice blended’ dan aiskrim Malaysia, namun kerana pendapatan kurang lumayan dia memilih untuk berniaga makanan.

“Niaga ada turun naik, lepas tu saya fokus kepada makanan mula-mula ayam gunting, sosej dan carbonara dengan pakej hanya RM1.

“Bagi saya walaupun hidup susah tapi jangan ambil keuntungan semata-mata. Pernah juga dapat tempahan makan tengah hari sampai 150 bungkus sehari, syukur rezeki Allah nak bagi,” katanya dengan nada gembira.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

456
Kongsi :
Previous post Pekerja bengkel nyaris rentung
Next post Banjir kilat di beberapa tempat di Ibu Negara, banyak jalan sesak
Ubah saiz-+=