Sorting by

×

Syurga baharu di Aidilfitri

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

GADEK 28 Mac – Mengenangkan Aidilfitri bakal menjelma tidak lama lagi, Limah Jentik, 61, meluahkan rasa sebaknya setelah menerima rumah percuma sekali gus menjadi lembaran baharu buatnya bagi menyambut perayaan itu.

Dia meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga selepas Rumah Prihatin yang dimohonnya berkali-kali akhirnya diluluskan dan dibina bersebelahan rumah pusakanya.

RUMAH pusaka Limah dilihat usang dan semakin dimamah usia mendapat perhatian kerajaan negeri

“Alhamdulillah, tuhan saja yang tahu perasaan saya, syukur pada Allah malah saya tak dapat nak balas segala budi pihak yang terlibat dalam membantu kami sekeluarga.

“Mak Cik begitu bersyukur tidak terhingga mungkin suatu hari nanti kalau Allah ‘menjemput’, saya terima dengan tenang,” katanya ketika ditemui di rumah baharunya itu, di sini hari ini.

Terdahulu, Limah dan seorang lagi penerima bantuan sama menerima kunci kediaman baharu masing-masing pada program Program Penyerahan Kunci Rumah Prihatin disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, V P Shanmugam.

Limah yang menetap berdua bersama anak bongsunya, Samsol Kuleng, 32, berkata, rumah pusaka tinggalan arwah suaminya itu semakin usang dimamah usia.

Dia berkata kekangan disebabkan penularan pandemik COVID-19 menyebabkan usaha mendapatkan bantuan perumahan terbantut sebelum diluluskan dua bulan lalu.

Menceritakan perancangan suasana Syawal akan datang, dia terbayangkan teriakan anak cucunya dan bersedia untuk beraya bersama rumah baharu itu.

SAMSOL menunjukkan atap yang bocor di seluruh bumbung rumahnya berdepan kesukaran tiap kali musim hujan melanda

“Di rumah lama kalau tinggal di sana memang risau terutama pada waktu hujan dan ribut. Atapnya pula merata bocornya sehinggakan perlu tadah basin bila hujan berlaku.

“Alhamdulillah, bila ada rumah baharu ini saya begitu senang dan tak payah bersusah nak tadah air lagi dah,” katanya ketika ditemui dirumah barunya hadi ini.

NURHAYATI

Sementara itu, seorang lagi penerima, Nurhayati Salim, 39, begitu gembira dengan bantuan diterima dan berharap syurga baharu itu dapat diraikan bersama keluarganya menjelang Syawal akan datang.

Ibu tunggal itu berkata, sebelum ini dia bersama tiga orang anak dan kakaknya menumpang di rumah ibu bapanya.

Malah, kehidupannya itu dijentik lagi apabila terpaksa berdepan dengan ibu bapa yang mempunyai penyakit kronik dan anaknya pula menghidap gangguan Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) memerlukan perbelanjaan rapi bagi melaksanakan rawatan susulan di hospital.

“Saya mohon pada bulan dua (Feb) dan pembinaan di tanah diwakafkan ibu saudara saya diluluskan JAPERUN Gadek.

“Alhamdulillah rasa syukur tidak terhingga bila kita tahu tahun-tahun sebelum ini kita tidak beraya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun ini rezeki besar saya tahun ini dapat beraya dengan rumah baharu.

“Hanya rasa terima kasih dan syukur kepada semua pihak terlibat termasuklah Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Japerun dan wakil rakyat Gadek sendiri kerana prihatin di atas nasib yang menimpa saya sekeluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

974
Kongsi :
Previous post Syarikat Telco digesa naik taraf perkhidmatan internet di luar bandar, pedalaman – MenKOMM
Next post Pembinaan Mawilla 4 di Bintulu dibentang pada sidang MKN dalam masa terdekat
Ubah saiz-+=