Tabung Kasih Rahmah di setiap masjid

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER MOLEK 4 November – Masjid di seluruh negara dicadangkan untuk menyediakan Tabung Kasih Rahmah (TKR) sebagai bantuan kecemasan segera kepada ahli kariah yang ditimpa musibah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah itu berperanan mengangkat institusi masjid.

Katanya, TKR itu turut dicadang untuk dikawal selia prosedurnya oleh pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid.

“Jadi Tabung Rahmah Kasih ini dapat membantu ahli kariah yang terputus wang tunai, bantuan kecemasan kebakaran, kemalangan yang perlukan bantuan segera dan pihak masjid melalui tabung ini boleh beri contohnya minimum RM200.

“Golongan asnaf pula boleh diberi peluang bekerja secara sambilan dengan bayaran RM50 untuk empat jam membersihkan masjid supaya kita dapat merakyatkan institusi masjid ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutup Program Ziarah Kasih Rahmah 2023 (ZIKIR ’23) Peringkat Zon Selatan sempena Sambutan Bulan Wakaf Melaka di Masjid As-Salimin, Kandang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, di Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) boleh memulakan dengan memberi sumbangan di setiap TKR di masjid-masjid dalam negeri ini.

“Cadangan ini perlu diperluaskan di seluruh negeri selepas bermula di Wilayah Persekutuan beberapa hari lalu.

“Falsafahnya adalah saya mahu masjid ini bukan dijadikan tempat solat semata-mata tapi perlu ada peranan lain termasuk tempat orang susah mencari bantuan,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1001
Kongsi :
Previous post Melaka permudahkan OKU dapat lesen memandu
Next post ZIKIR ’23 ‘merakyatkan’ masjid
Ubah saiz-+=