Melaka permudahkan OKU dapat lesen memandu

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER LIMAU 11 November – Kerajaan Negeri berhasrat mahu mempermudahkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mendapatkan lesen memandu.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, usaha itu sebagai langkah bagi memastikan golongan berkenaan dapat meneruskan kehidupan untuk mencari rezeki dengan kemudahan lesen memandu yang sah.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat menganjurkan satu program yang akan menghimpunkan golongan OKU untuk mendedahkan berkaitan peraturan dan prosedur berkaitan perlesenan untuk mereka.

“Kita merangka untuk membantu OKU untuk memudahkan mereka mendapatkan lesen tapi ia bukan langkah memberikan mereka lesen percuma, cuma kita mahu dedahkan mereka prosedur apa yang perlu dilaksanakan tanpa melanggar sebarang syarat.

“Kerajaan Negeri menerusi JPJ akan turun padang membantu golongan ini ke peringkat akar umbi untuk kita dedahkan sebab mungkin sebelum ini mereka sukar untuk dapatkan lesen disebabkan pergerakan yang terbatas jadi kita mahu permudahkan golongan ini.

“Kita sasarkan program seperti ini akan dilaksanakan bermula awal tahun hadapan kerana apabila mereka mempunyai lesen kenderaan nanti ini akan membantu memudahkan urusan mereka mencari rezeki,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari MKJR Peringkat Daerah Alor Gajah di Kompleks Komuniti Tan Sri (Dr) Abu Seman Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Murid (HEM) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, Muhammad Hamka Dollah.

Dalam pada itu, Hameed berkata, selain OKU, pihaknya juga akan menyasarkan golongan ibu tunggal dan wanita daripada kumpulan B40 untuk dibantu mendapatkan lesen memandu.

“Mungkin lepas ini kita sasar kumpulan yang lain seperti golongan wanita yang berusia, ibu tunggal dan sebagainya yang memerlukan lesen untuk pergi bekerja.

“Seperti ibu tunggal mereka perlu menyara keluarga sendiri dan ada dalam kalangan mereka yang tidak punyai lesen kenderaan jadi dengan usaha ini dapat membantu mereka untuk mencari rezeki,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1037
Kongsi :
Previous post Pelajar sekolah ‘duta’ keselamatan jalan raya
Next post Tabung Kasih Rahmah di setiap masjid
Ubah saiz-+=