Pelajar sekolah ‘duta’ keselamatan jalan raya

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER LIMAU 11 November – Hari Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) akan diperluaskan ke seluruh negeri terutama di sekolah-sekolah bagi memastikan pelajar mampu menjadi duta kepada masyarakat menyebarkan mesej kesedaran berkaitan keselamatan jalan raya.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, MKJR yang ditubuhkan semula sejak awal tahun lalu komited memastikan kesedaran masyarakat terhadap isu keselamatan jalan raya dipertingkat, sekali gus mampu mengurangkan kadar kemalangan di negeri ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan hasrat itu tercapai.

“Kita akan mendekati golongan pelajar sekolah ini untuk kita kongsikan tentang pendekatan berkaitan isu keselamatan jalan raya yang perlu dititikberatkan kerana seperti kita maklum kebanyakkan golongan yang terdedah berada di jalan raya adalah generasi muda.

“Jadi mereka mampu menjadi duta untuk membawa mesej keselamatan ini di sekolah, malah ia juga boleh dikembangkan ke peringkat komuniti dalam sesebuah masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari MKJR Peringkat Daerah Alor Gajah di Kompleks Komuniti Tan Sri (Dr) Abu Seman, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Murid (HEM) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah, Muhammad Hamka Dollah.

Pada program itu lebih 1,000 warga Alor Gajah serta pelajar sekolah dalam daerah berkenaan membanjiri kompleks itu bagi memeriahkan sambutan berkenaan menerusi pelbagai program kesedaran yang dianjurkan.

Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau turut menyempurnakan pelepasan lebih 200 penunggang motosikal diiringi anggota polis dan penguatkuasa JPJ menyertai Ride Belia Japerun Ayer Limau mengelilingi kira-kira 40 kilometer menyebarkan mesej solidariti ke atas Palestin.

Pelbagai program menarik membabitkan Taklimat Keselamatan Jalan Raya, Pertandingan Road Safety Challenge, Explorace Road Safety serta pelbagai lagi dianjurkan pada program berkenaan.

Dalam pada itu, Hameed berkata, selain pelajar sekolah, Hari MKJR akan turut dianjurkan di peringkat negeri dalam usaha mendidik masyakarakat tentang keselamatan jalan raya.

“Kita sedang merangka lebih banyak program-program berkaitan isu keselamatan jalan raya kerana isu keselamatan ini bukan sahaja pada pemandu malah semua masyarakat perlu tahu agar kesedaran itu ada,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1496
Kongsi :
Previous post Syukuri nikmat keamanan dan kebebasan dikecapi negara – Agong
Next post Melaka permudahkan OKU dapat lesen memandu
Ubah saiz-+=