Tak perlu inisiatif baharu sebaliknya tambah baik mutu perkhidmatan bas

Masa Membaca:2 Minit, 32 Saat

KUALA LUMPUR 16 Februari – Mutu perkhidmatan bas awam di Melaka perlu ditambah baik termasuk menjalankan kajian terperinci bagi meningkatkan mutu perkhidmatan sektor itu kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berpandangan perkhidmatan itu perlu ditambah baik di negeri ini berbanding pendekatan yang dicadangkan untuk menambah kemasukan sistem perkhidmatan tram atau laluan khas buat bas di negeri ini.

Beliau berkata, kajian terperinci perlu dilaksanakan Kerajaan Negeri dengan sistem perkhidmatan sedia ada bagi membekalkan perkhidmatan kepada rakyat berbanding usaha untuk mengeluarkan kos bagi menambah inisiatif baharu dalam perkhidmatan awam.

“Kalau Kerajaan Negeri nak mempertimbangkan kewujudan kemasukan sistem tram di Melaka kita akan hadapi beberapa masalah kerana dalam kawasan bandar khususnya kawasan pelancongan kita berdepan dengan saiz jalan yang kecil dan jarak antara bangunan yang terlampau dekat dan ini akan menambahkan lagi kesesakan lalu lintas yang ada.

“Kita perlu cari alternatif lain seperti memperkasa semula perkhidmatan bas awam di negeri ini kerana kita bukan sahaja perlu lihat daya maju (viability) perkhidmatan itu namun ia perlu melihat kemampuan kewangan (financial capability) dalam sektor ini.

“Jadi Kerajaan Negeri perlu duduk di dalam satu muafakat bersama pembangkang, pelbagai syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak sewajarnya untuk mencurahkan satu idea dan pendapat agar satu jalan penyelesaian dalam di selesaikan dalam sistem perkhidmatan awam di Melaka khususnya perkhidmatan bas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Konvensyen Hala Tuju Pembangunan Negeri Melaka 2023 diadakan di sebuah hotel di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Terdahulu, menerusi konvensyen itu beliau turut menyatakan soalan dan pendapatnya dalam sesi forum kedua Keberkesanan Sistem Pengangkutan dengan moderatornya terdiri daripada Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT).

Antara topik yang dibincangkan dalam forum berkenaan adalah Penyuraian Kesesakan Lalu Lintas dan pengangkutan pintar kepada komuniti oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia; Smart Mobiliti oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aksesibiliti Pengangkutan Awam dan Mikro Mobiliti oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Pengangkutan Pintar oleh Panorama Melaka.

WhatsApp Image 2023-02-16 at 5.22.20 PM
DR Muhamad Akmal

Sementara itu, mencurahkan pendapat sama, Adun Merlimau Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata tahap penggunaan sistem bas di Melaka masih berada pada kadar rendah dan perlu mempunyai jalan penyelesaian bagi menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan itu.

Beliau berkata, beberapa faktor membuatkan perkhidmatan bas semakin ‘tenggelam’ di negeri ini adalah kebolehcapaian (accessibility) iaitu kawasan yang diliputi perkhidmatan itu tidak meluas diikuti kecekapan (efficiency) yang digunakan dalam penjadualan perkhidmatan bas dan kos efektif yang merangkumi aspek perletakan harga tiket yang berpatutan kepada rakyat.

“Kita kena tambah baik perhidmatan sedia ada, itu lebih penting sebab kalau kita sibuk nak bercakap pasal nak beli 30, 40 bas tapi sistem sedia ada tak mampu dicapai, apakah itu lebih penting dan membawa pulangan kepada rakyat?

“Ini sama seperti nak bercakap membawa masuk bas hijau (sebab) sebelum nak bercakap mengenai sistem hijau waima mesra alam pun kita kena tahu apakah perkhidmatan sedia ada memudahkan rakyat, jadi kena tahu perkhidmatan ini relevan kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4132
Kongsi :
Previous post Pemetaan dasar jadi indikator PSMJ 2035
Next post Melaka lancar Tabung Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi Turkiye dan Syria
Ubah saiz-+=