Taktik licik Macau Scam beri notis guna surat polis palsu

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 13 Jun – Polis Melaka menafikan pihaknya mengeluarkan notis terhadap seorang individu bagi membantu siasatan berhubung kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram pada 12 Jun lepas (semalam).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superitendan E.Sundra Rajan berkata, surat tersebut sebaliknya dikeluarkan oleh sindiket penipuan Macau Scam bertujuan memperdayakan mangsa bagi mengaut keuntungan.

Katanya, surat yang kononnya ditandatangani oleh Ketua Polis Melaka itu dihantar kepada seorang lelaki berusia 24 tahun menerusi pesanan Whatsapp.

“Surat yang dihantar kepada mangsa mendakwa bahawa pihak polis ‘memerintahkan’ mangsa memberi kerjasama kepada Polis Melaka kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah dan penggubahan wang haram bernilai RM228,000.

“Hasil siasatan mendapati dokumen seumpama ini adalah modus operandi yang sering digunakan oleh sindiket Macau Scam untuk menimbulkan rasa takut kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

SURAT palsu yang ditandatangani Ketua Polis Melaka. Foto ihsan PDRM

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil siasatan juga mendapati mangsa yang terpedaya kemudian akan memberikan butiran nombor akaun serta maklumat perbankan kepada sindiket.

“Mangsa kemudiannya akan membuat pindahan wang dari dalam akaun orang ramai.

“Dokumen yang dihantar kepada mangsa turut mempunyai sistem fail polis serta mempunyai nombor rujukan palsu,” katanya.

Dalam pada itu, Sundra Rajan turut menasihatkan orang ramai sekiranya menerima dokumen berkenaan, terus ke balai polis berhampiran untuk membuat pertanyaan atau pengesahan.

Katanya, orang ramai diminta untuk berhati-hati dan tidak terpedaya dengan taktik licik sindiket Macau Scam dan masyarakat boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/1599 untuk pengesahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2489
Kongsi :
Previous post APM cadang tubuh CDERT Istana Melaka
Next post Siti Bainun pegang dagu, paksa Bella makan nasi goreng ada banyak cili – Saksi
Ubah saiz-+=