Taman Tema Upin Ipin pemangkin industri pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 15 Disember – Pembinaan Taman Tema Upin dan Ipin bakal menjadi pemangkin dalam usaha memperkasakan industri pelancongan Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk menyediakan tapak seluas 55 hektar (138 ekar) di daerah Alor Gajah, bagi merealisasikan pembinaan taman tema tersebut.

Katanya, Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Melaka (MCorp) sedang berunding bersama Les’ Copaque Production mengenai terma dan syarat penggunaan tanah yang dijangka akan dimuktamadkan dalam masa dua minggu.

“Saya amat yakin dan percaya, pembinaan Taman Tema Upin Ipin sudah tentu akan menjadi pemangkin dalam memperkasa lagi industri pelancongan Negeri Melaka dan ia dapat dijadikan satu produk pelancongan baharu, malah bakal memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negeri dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan serta perniagaan.

“Taman tema yang berunsurkan cabaran antarabangsa ini akan menjadi kenyataan dalam tempoh dua tahun lagi. Matlamat penubuhan taman tema ini untuk perkenalkan watak-watak animasi tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Upin Ipin 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata penganjuran Karnival Upin Ipin juga secara tidak langsung mempromosikan kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Saya melihat menerusi inisiatif penganjuran karnival seperti ini bakal menggalakkan lagi sektor pelancongan Melaka. Bukan sahaja tertumpu kepada produk pelancongan sejarah, seni dan warisan, malah menerusi hiburan berunsurkan animasi pendidikan kanak-kanak.

“Saya harap karnival ini dapat dilaksanakan lagi pada TMM2024 nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2020
Kongsi :
Previous post Amaran hujan berterusan di Pantai Timur dan Sabah bermula hari ini
Next post Penganggur didakwa bunuh ibu bapa di Sungai Penchala
Ubah saiz-+=