TAMBAH WARDEN DI UPNM, TANGANI ISU BULI

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

SUNGAI UDANG 7 November – Kementerian Pertahanan akan menambah bilangan warden di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai langkah meningkatkan lagi pengawasan terhadap penuntut bagi menangani isu buli.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata pihak kementerian juga sudah melaksanakan beberapa langkah susulan dan menambah baik peraturan bagi memastikan isu buli di UPNM tidak terus berulang.

Katanya, antara yang disentuh dan dibincangkan dalam mesyuarat kementerian berhubung itu berkenaan adalah memastikan nisbah warden dan penuntut berada pada tahap yang sesuai agar pemantauan lebih berkesan dapat dilaksanakan.

“Bilangan pegawai perlu sesuai dengan nisbah penuntut yang ada, supaya lebih banyak penumpuan dalam kalangan pembimbing, selain itu kita juga sedang mengusahakan untuk menambah jumlah warden,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Sukan Elektronik (e-Sukan) Sekolah Dalam Kem (SDK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak, hari ini.

Terdahulu pada majlis sama, Adly turut menyampaikan hadiah kepada kumpulan Warga Emas terdiri daripada pelajar tingkatan dua dan tingkatan tiga yang diumumkan johan pertandingan.

Mengulas lanjut, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata pihak kementerian tidak bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas berhubung kejadian buli.

“Kes buli boleh berlaku antara penuntut dan penuntut, atau penuntut dengan pihak lain, namun kebanyakan kes melibatkan penuntut dengan penuntut. Selain menambah jumlah warden, usaha untuk memberikan kesedaran kepada penuntut berhubung isu ini juga dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, kertas siasatan berhubung kes buli di UPNM telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut dan setakat Ahad lalu, pihaknya telah merakam keterangan 16 individu.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet ALK-UPNM yang dibuli senior menggunakan seterika yang ditekap pada bahagian dada hingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular dalam media sosial.

Difahamkan perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

119
Kongsi :
Previous post JEJANTAS MELAKA SENTRAL IKON BAHARU PELANCONGAN
Next post KAMPUNG DIGITAL, PARAMEDIK KOMUNITI JADI CONTOH PADA NEGERI LAIN
Ubah saiz-+=