Tarikan Rumah Api 143 tahun di Pulau Undan
TELOK MAS 22 Oktober – Rumah Api Pulau Undan berusia 143 tahun antara tarikan terbaharu aktiviti pelancongan di Taman Laut Melaka.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pulau-Pulau Melaka (MPPM), Azhar Yaacob berkata, monumen sejarah yang dibina pada tahun 1880 itu masih menjalankan fungsinya sebagai panduan bagi kapal dagang dan nelayan yang menggunakan Selat Melaka.
Katanya, kemudahan itu berada dalam keadaan baik dan kini ia diletakkan di bawah seliaan Jabatan Laut Malaysia.
Bagaimanapun, katanya aktiviti melawat Rumah Api Pulau Undan tidak terbuka kepada umum sepanjang masa.
“Jika ada pengunjung yang berminat untuk melawat rumah api berkenaan, aktiviti boleh diatur untuk dilawati namun secara berkala.
“Rumah Api itu mempunyai keunikan dan nilai sejarah tertentu, justeru ada faktor keselamatan tertentu yang perlu dilihat,” katanya.
Beliau berkata demikian Program Mempromosi Taman Laut Melaka di Pulau Undan bersama pengamal media Melaka.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Perikanan Melaka, Nawar Abd Karim.
Untuk rekod, Rumah Api Pulau Undan adalah rumah api kedua tertua di Malaysia dan dibina ketika zaman pemerintahan British selepas pembinaan Rumah Api Tanjung Tuan (1863) membabitkan kos sebanyak £20,923.
Azhar berkata selain rumah api, snorkeling dan selama skuba menjadi tarikan utama aktiviti rekreasi air yang boleh dilakukan di Pulau Undan.
“Walaupun ‘vision’ kita kurang untuk melihat kepelbagaian batu karang di dasar laut, namun ia sangat eksklusif, hanya waktu tertentu sahaja seperti ketika ‘air mati’ sahaja boleh, dalam sebulan mungkin 10 hari sahaja (melihat keindahan batu karang itu dengan jelas),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.