‘Anugerah ini untuk kakak’

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 22 Oktober – “Anugerah ini saya dedikasikan untuk kakak saya yang sanggup berkorban melupakan pengajian di peringkat Sarjana demi melihat saya berjaya”.

Itu kata Wan Noorhidayah Wan Zahari, 21 yang merupakan penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan pada Majlis Konvokesyen Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) Kali ke-9.

Mengenang kejayaan itu, anak kelahiran Pulau Pinang itu mengakui terharu dengan pengorbanan kakaknya yang sanggup melupakan impian untuk belajar hingga ke peringkat tertinggi demi melihat adiknya menyambung pengajian.

Justeru, anak bongsu daripada empat beradik itu bertekad mahu menggengam segulung Sarjana sebagai hadiah untuk pengorbanan kakaknya.

Selain kakak yang memberi inspirasi dalam kejayaan itu, dia berkata, ibunya Gulzar Miandad, 60, juga menjadi tulang belakang yang sentiasa memberi sokongan dan motivasi untuknya berjaya.

“Kejayaan ini sebagai bukti saya belajar bersungguh-sungguh dan ‘enjoy’ dengan apa yang saya pelajari di MiCoST.

“Alhamdulillah berkat usaha selama ini membuahkan hasil, biarpun pada awalnya saya hanya ingin fokus dalam akademik tetapi masuk tahun kedua dan ketiga saya mula aktif dalam pelbagai program di kolej,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas majlis istiadat yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.

Kejayaan itu melayakkan Wan Noorhidayah menerima sijil pengiktirafan dan wang tunai RM1,000 yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Graduan jurusan Diploma Pentadbiran Awam itu berkata, dia sama sekali tidak menjangka akan menerima anugerah yang terbesar dalam hidupnya itu.

“Sewaktu awal masuk kolej saya hanya pelajar biasa, tetapi saya cabar diri saya untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sekarang ini saya juga sedang menuntut di sebuah universiti awam. Saya akui untuk mencapai ke tahap ini tidak mudah, tetapi sebelum buat sesuatu saya akan pastikan segala tugasan diberikan siap, itulah kunci kejayaan saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3571
Kongsi :
Previous post Tiga jeti jadi pintu utama ke Taman Laut Melaka
Next post Tarikan Rumah Api 143 tahun di Pulau Undan
Ubah saiz-+=