Sorting by

×

Tiga jeti jadi pintu utama ke Taman Laut Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TELOK MAS 21 Oktober – Beberapa langkah penguatkuasaan dilakukan Jabatan Perikanan Negeri Melaka bagi memantau jumlah kemasukan maksimum 200 pengunjung ke Taman Laut Melaka dalam sebulan.

Timbalan Pengarah Perikanan Melaka, Nawar Abd Karim berkata, antara kaedah dilaksanakan termasuklah menyenarai perkhidmatan tiga jeti sebagai pintu utama kemasukan pengunjung ke Taman Laut Melaka di Pulau Undan, Pulan Nangka dan Pulau Dodol.

Katanya, menerusi tiga jeti berkenaan, pengunjung hanya akan menggunakan perkhidmatan 25 operator bot yang berdaftar di bawah Jabatan Perikanan.

“Tiga pintu utama itu adalah Jeti Umbai, Pernu, Jeti Anjung Batu dan Jeti Marina di Banda Hilir. Ketiga-tiga jeti ini sahaja dibenarkan kepada pengunjung untuk masuk ke Taman Laut Melaka.

“Selain itu, untuk masuk ke taman laut berkenaan, perlu melalui operator bot yang berdaftar jadi pengunjung digalakkan berurusan terus dengan operator bot terbabit dan membeli tiket serta tiga pakej ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Mempromosi Taman Laut Melaka bersama pengamal media Melaka di Pulau Undan.

IMG_20231021_203910_460
NAWAR

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembagunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM), Azhar Yaacob.

Mengulas lanjut, Nawar berkata, caj bayaran sebanyak RM5 dikenakan untuk mengunjungi Taman Laut yang mana bayaran itu digunakan untuk pemuliharaan, penyelenggaraan dan sebagainya.

“Bagaimanapun harga pakej ditawarkan bergantung kepada aktiviti pilihan pengunjung iaitu pakej pertama, aktiviti snorkeling manakala pakej kedua selam skuba dan ketiga adalah ‘island hoping’.

“Harga bagi sewaan sebuah bot juga berbeza yang mana bagi aktiviti snorkeling biasanya RM600 yang boleh memuatkan 12 orang manakala aktiviti ‘island hoping’ pakej ditetapkan adalah sebanyak RM450.

“Bayaran ditetapkan adalah hasil perbincangan bersama operator bot selain mengkaji harga berkenaan di pasaran,” katanya.

Nawar berkata, rondaan dan penguatkuasaan oleh Jabatan Perikanan Negeri Melaka dijalankan setiap hari bagi memastikan segala peraturan itu dipatuhi.

“Di perairan pulau taman laut ini, digalakkan beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 6 petang sahaja dan lebih daripada masa itu kita tidak galakkan.

“Selain itu penguatkuasaan menerusi rondaan juga dilakukan bagi memantau sama ada operator bot berdaftar ini membawa jumlah penumpang mengikut had ditetapkan, contohnya kalau masuk 12 orang balik juga perlu cukup 12 orang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

21485
Kongsi :
Previous post Had 200 pengunjung ke Taman Laut Melaka
Next post ‘Anugerah ini untuk kakak’
Ubah saiz-+=