Tempatkan penjaja kecil di gerai masih kosong – Sapiah

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

SERI NEGERI 1 Februari – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mahu menempatkan semua penjaja kecil kawasan pentadbirannya di gerai- gerai MPHTJ yang masih kosong atau belum disewakan.

Yang Dipertuannya Datin Sapiah Haron berkata itu antara hasrat beliau dalam mentadbir MPHTJ dan inisiatif itu bagi memberi lebih keselesaan kepada penjaja kecil untuk mengubah gaya hidup mereka khususnya dalam memperluaskan perniagaan mereka.

“Saya mahu semua penjaja tepi jalan kawasan MPHTJ yang sudah mempunyai lesen dinaik taraf dengan dipindahkan masuk ke gerai-gerai MPHTJ yang masih kosong.

“Penjaja ini tidak perlu berniaga di tepi jalan terlalu lama, sebab apa yang mereka bayar pada setiap bulan kepada kita sama sahaja dengan bayaran sewa gerai majlis yang masih kosong.

“Ini salah satu usaha kita untuk cuba menaik taraf kehidupan penjaja-penjaja kecil yang di tepi jalan ini ke arah yang lebih baik,” katanya.

photo_2023-02-01_13-15-19
Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Harun. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melafaz sumpah sebagai Yang Dipertua MPHTJ yang baharu berkuatkuasa hari ini di hadapan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Bilik Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sapiah dalam usaha untuk menambah baik semua produk pelancongan di kawasan pentadbirannya termasuk menangani isu banjir kilat yang kerap berlaku.

“Kita fokus kepada apa kerajaan negeri nak kita buat, contohnya di MPHTJ isu banjir memang ada dan kita akan menaik taraf segala infrastruktur bagi menangani isu banjir dan juga penjaja.

“Seperti kita maklum tahun 2024 adalah Tahun Melawat Melaka dan saya akan pastikan dalam kawasan MPHTJ berada dalam keadaan bersih, ceria dan mempunyai landskap yang cantik.

“Pagi tadi sebelum angkat sumpah saya sempat melawat Zoo Melaka, ada kerja-kerja menaik taraf sedang dibuat di dalam zoo, ada beberapa lagi perancangan cuma kena perincikan dahulu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2497
Kongsi :
Previous post RTM siar secara langsung 75 aksi Liga-M 2023
Next post OKU lemas di Sungai Melaka
Ubah saiz-+=