Tenang hadapi karenah anggota komuniti daftar vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

LENDU 25 Jun – Hadir dalam keadaan marah-marah, malah ada yang mendakwa mempunyai ‘kabel’ yang boleh mempercepat nama mereka diterima sebagai penerima vaksin.

Itu antara karenah segelintir orang ramai yang terpaksa ditempuhi oleh anggota Sukarelawan Masjid Tanah (SMART) dalam membantu mendaftarkan orang ramai, terutama warga emas sebagai penerima vaksin COVID-19 mengikut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Bagi penuntut Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya, As Saiyidah Nafisah Halis, 20, karenah berkenaan dihadapinya dengan penuh sabar kerana memahami dalam keadaan orang ramai berpusu-pusu untuk mendaftar, pasti ada yang kurang sabar.

“Ada yang bercakap dalam nada tinggi minta supaya cepat diberikan tarikh menerima suntikan dan ada juga yang mendakwa mempunyai ‘kabel’ tertentu yang boleh membantu mereka mendapatkan janji temu lebih awal.

“Saya terpaksa memberikan penjelasan kami hanyalah sukarelawan yang membantu mendaftar nama mereka sedangkan janji temu ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui di kaunter pendaftaran penerima vaksin SMART di Klinik Kesihatan Masjid Tanah, di sini.

 

Abdullah.

SMART yang diketuai Mejar (B) Abdullah Mahadi itu bekerjasama dengan klinik berkenaan bagi membantu mendaftarkan anggota komuniti sebagai penerima vaksin berikutan masih ramai yang belum berbuat demikian.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu diasaskan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin pada April lalu bagi menjalankan pelbagai aktiviti meningkatkan kemajuan komuniti dan memelihara kebajikan mereka.

Sementara itu, Abdullah berkata, anggota SMART turut membantu menghubungi penerima vaksin bagi mengingatkan tarikh janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah.

Abdullah (kiri) dan anggota SMART menghubungi penerima vaksin bagi mengingatkan tarikh janji temu.

“Alhamdulillah, sejak kami membuat panggilan awal bulan ini, seramai 200 orang atau 50 peratus penerima vaksin di pusat itu yang ‘hilang’ sebelum ini berjaya dibawa menghadiri janji temu.

“Sehari, maksimum 400 orang dipanggil menghadiri janji temu untuk menerima suntikan tetapi 200 atau 50 peratus tidak hadir tetapi sejak kami memulakan usaha menghubungi mereka, jumlah kehadiran meningkat kepada hampir 100 peratus,” katanya.

Katanya, antara punca penerima tidak hadir adalah kerana terlupa dan tidak mengetahui janji temu di PPV berkenaan.

“Ada anak penerima yang membantu mendaftarkan ibu bapa mereka melalui aplikasi MySejahtera, tidak menyemak status ibu bapa mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

505
Kongsi :
Previous post Dua lelaki ditahan bawa dadah bernilai lebih RM5,000 di Bahau
Next post Tuntutan saman, PAFA rujuk FAM untuk khidmat Nasihat
Ubah saiz-+=