Terap prinsip Rukun Negara sejak kecil – KM

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BUKIT BARU 24 November – Kerajaan Negeri berharap pendidikan awal mengenai Rukun Negara diterapkan sejak kecil kepada anak-anak bagi memastikan mereka menjadi pelapis pemimpin negara di masa hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pendidikan awal tentang prinsip itu perlu seiring dengan semangat cinta, kasih dan sayang kepada negara.

“Kanak-kanak adalah masa depan negara, mereka perlu dapat didikan awal sejak kecil sehingga usia 18 tahun, mereka harus digerakkan dengan semangat cinta, kasih dan sayang kepada negara yang ada dalam prinsip Rukun Negara.

“Saya yakin kalau mereka ini didedahkan di peringkat awal tentang Rukun Negara, anak-anak ini esok akan menjadi pewaris pemimpin dan akhirnya negara ini akan lebih aman, tenteram, makmur dan sejahtera pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 di Rumah Kasih Tun Abdul Aziz Durian Daun, di sini hari ini.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Burhanuddin Bachik.

Jelasnya, menurut bancian penduduk Malaysia bagi tahun 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, menunjukkan bahawa 28.1 peratus daripada 32.6 juta keseluruhan penduduk Malaysia adalah terdiri daripada kanak-kanak.

“Sejumlah 9.23 juta kanak-kanak terdiri daripada 4.77 juta kanak-kanak lelaki dan 4.46 juta kanak-kanak perempuan, ini merupakan kumpulan yang fragile dan terdedah kepada pelbagai perkara yang boleh ganggu fizikal, mental dan emosi mereka.

“Jaadi asas membina jati diri, asas membina pelajar mesti diterapkan daripada awal supaya kita menjadi satu bangsa yang berjaya di masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2279
Kongsi :
Previous post Bella alami kecederaan fizikal, emosi di bawah jagaan Siti Bainun – Hakim
Next post Lebih 10,000 motosikal berhimpun di Kuala Sungai Baru
Ubah saiz-+=