Teroka 11 manfaat Belanjawan 2023 untuk Negeri Melaka – KM

Masa Membaca:3 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 10 Mac – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menggariskan 11 perkara yang boleh diterokai Kerajaan Negeri pada Belanjawan 2023 yang dibentangkan baru-baru ini.

Menurut Sulaiman, perkara pertama ialah membabitkan penjaja kecil di mana kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi membina baharu dan menaik taraf 3,000 gerai dan kios di kawasan tumpuan.

Justeru, Sulaiman meminta, pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Melaka mengenal pasti kawasan-kawasan tumpuan seperti Kota Melaka, Bandar Hilir, Ayer Keroh, Pantai Klebang, Pengkalan Balak serta Tanjung Bidara yang boleh memanfaatkan peruntukan tersebut.

Bagi perkara kedua, Sulaiman meminta agensi-agensi terkait dengan pembangunan usahawan untuk membantu para usahawan di negeri ini memandangkan kemudahan pembiayaan yang disediakan kerajaan adalah berjumlah RM40 bilion, selain RM1.7 bilion diperuntukkan kepada usahawan mikro dan penjaja kecil.

Selain itu, bagi perkara ketiga, katanya, Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) perlu mengambil peluang pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) bagi memastikan amalan rendah karbon dilaksanakan di Melaka.

“Keempat, saya amat menyokong dasar Kerajaan Pusat agar menambah baik prosedur menjalankan perniagaan bagi mengurangkan birokrasi termasuk memberikan insentif kepada pihak berkuasa tempatan. Ini sekali gus memudah cara pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan bagi memastikan usaha pelaburan dapat dipercepat.

“Jadi, kepada PBT-PBT, lakukan sedikit inovasi dan penambahbaikan untuk memudah cara para pelabur yang ingin melabur di Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bilangan 3/2023 di Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, barisan Exco Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, bagi perkara kelima, Kerajaan Negeri akan menyegerakan projek prasarana rakyat sejurus menerima peruntukan terutamanya dalam menyelesaikan isu-isu jalan berlubang dan pemasangan lampu-lampu jalan di kawasan yang mempunyai risiko tinggi kemalangan.

Tambahnya, seiring dengan agenda nasional memperkasa TVET, beliau turut berharap Negeri Melaka mampu mencapai matlamat tersebut memandangkan terdapat banyak institusi pengajian tinggi (IPT) berasaskan TVET di negeri ini.

“Antaranya UTeM, Politeknik, ILP, Kolej dan institut kemahiran bawah MARA, MISDEC dan lain-lain berupaya dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir khususnya memenuhi pasaran dan permintaan di Negeri Melaka.

“Oleh itu, pemain-pemain industri besar di Melaka seperti Infineon Technologies, Honda, Texas Instrument perlu dijalinkan usahasama agar lepasan TVET di Melaka dapat memenuhi keperluan mereka.

“Kepada semua Ketua-ketua Jabatan yang berkaitan dengan TVET, saya mahukan perkara ini dibincangkan segera dengan pemain-pemain industri,” katanya.

Menurut Sulaiman, perkara ketujuh ialah membabitkan persediaan Tahun Melawat Melaka 2024 yang mana beliau mahu persiapan lebih rapi oleh Bahagian Promosi Pelancongan dan Exco Pelancongan bagi tujuan promosi produk-produk Negeri Melaka memandangkan ada peruntukan dana geran padanan sebanyak 115 juta ringgit dalam Belanjawan 2023 untuk bekerjasama dengan industri Pelancongan dan Kebudayaan.

“Kelapan, Kerajaan Negeri akan memastikan peniaga kecil bersedia ke arah pendigitalan perniagaan menerusi kewujudan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di setiap DUN bagi tujuan membantu peniaga kecil melengkapkan pengetahuan ICT dan e-dagang.

“Kesembilan, bagi memastikan kos sara hidup rakyat di Melaka terus terjamin, Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif Menu Rahmah dan berharap ia diperluaskan lagi di Melaka supaya meringankan kos kehidupan golongan B40 yang memerlukan sama ada berada di kawasan bandar mahupun luar bandar,” ujarnya.

Sulaiman berkata, bagi perkara kesepuluh, Kerajaan Negeri akan terus memperkasa pengeluaran hasil makanan bagi memastikan isu keterjaminan makanan sentiasa berada pada tahap yang baik.

Katanya, peruntukan dana RM1 bilion di bawah Skim Pembiayaan Agrofood untuk membantu pengusaha agro makanan meningkatkan produktiviti pengeluaran perlu dimanfaatkan oleh para pengusaha di Negeri Melaka.

Manakala, perkara terakhir, Sulaiman meminta Institut Warisan Melaka (INSWA) untuk mendapatkan dana bagi menggerakkan program ‘Ini Warisan Kita’ memandangkan negeri ini kaya dengan seni dan warisan seterusnya menyokong Kempen Promosi TMM 2024 dengan mengetengahkan seni dan warisan Negeri Melaka ke persada antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1583
Kongsi :
Previous post 8,406 anak asnaf terima bantuan pakaian sekolah MAIM
Next post Syaaban meraih keampunan sebagai persediaan Ramadan
Ubah saiz-+=