Sorting by

×

Syaaban meraih keampunan sebagai persediaan Ramadan

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

Oleh: Datuk Hj. Ibrahim Bin Fadzil

Bulan Syaaban iaitu bulan kelapan di dalam kalendar Islam merupakan salah satu bulan yang mempunyai kelebihan dan keistimewaannya. Lazimnya, bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan mempunyai keistimewaannya tersendiri, di mana kehadirannya amat ditunggu-tunggu oleh umat Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. 

Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk berdoa dan memohon keberkatan dalam bulan tersebut supaya diberikan kesungguhan agar dapat memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT. Sepertimana diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW apabila masuk Rejab, baginda akan berdoa: “Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada Rejab dan Syaaban serta sampaikanlah kami ke Ramadan.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi) 

Bulan Syaaban ini juga terdapat satu malam yang penuh rahmat, iaitu Malam Nisfu Syaaban. Pada malam ke-15 bulan Syaaban ini, doa menjadi sangat mustajab dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Berkata Al-Imam Al-Syafie R.A. dalam kitab Al-Umm yang bermaksud: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam Jumaat, malam Al-Adha, malam Al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam Nisfu Syaaban”. 

Umat Islam yang beriman dan bertakwa hendaklah memohon keampunan daripada Allah SWT dengan memperbanyakkan amalan sunat pada bulan Syaaban antaranya berpuasa sunat, membaca al-Quran, berdoa, berzikir, beristigfar, berselawat, bersedekah dan sebagainya. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Ali Imran ayat 133, yang bermaksud: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa“.

Amalan sedekah amat digalakkan dalam bulan Syaaban. Ianya sebagai persediaan dan melatih diri bersedekah sebelum bertemunya pada bulan Ramadan. Bulan Ramadan bulan yang amat dinantikan oleh seluruh umat Islam kerana pahalanya berganda setiap amalan yang baik dilakukan pada bulan tersebut. Amalan sunat ini bukan hanya sedekah sahaja tetapi ibadah zakat menjadi keutamaan untuk ditunaikan bagi meringankan bebanan golongan yang memerlukan sebagai persiapan menyambut bulan Ramadan dan Syawal. 

Justeru, umat Islam diseru untuk merebut peluang ini dengan memperbanyakkan amalan sunat pada bulan Syaaban sebagai persediaan Ramadan bulan yang penuh keberkatan. Semoga ibadah yang dilakukan mendapat ganjaran pahala yang berganda di sisi Allah SWT. 

Sebarang pertanyaan dan pembayaran zakat bolehlah layari www.izakat.com atau menghubungi di talian 1-300-88-0233 di Zakat Melaka atau tinggalkan mesej di talian whatsapp 011-58583885 untuk info lebih lanjut. 

Sekian terima kasih. 

Tulus Ikhlas Dari, 

(Datuk Hj. Ibrahim Bin Fadzil) 

Ketua Pegawai Eksekutif, 

Zakat Melaka, 

Majlis Agama Islam Melaka. 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1663
Kongsi :
Previous post Teroka 11 manfaat Belanjawan 2023 untuk Negeri Melaka – KM
Next post Indahkan landskap destinasi tumpuan pelancong – KM
Ubah saiz-+=